fbpx

Pakistan tawar penerbangan percuma hantar bantuan banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ka Siong bersama Amna Balloch (dua kanan) menyampaikan sumbangan bantuan BLIA World dan Yayasan Sin Chew pada Majlis Pelancaran Menghantar Barangan Keperluan Serta Bantuan Kepada Mangsa Banjir Pakistan di KLIA, Sepang, di sini, hari ini. - FOTO/ FAISOL MUSTAFA

SEPANG – Kerajaan Pakistan menawarkan penerbangan tanpa dikenakan sebarang bayaran bagi penghantaran bantuan misi kemanusiaan ke atas mangsa bencana banjir di negara itu.

Pesuruhjaya Tingginya ke Malaysia, Amna Baloch berkata, langkah tersebut diharapkan dapat menggalakkan badan bukan kerajaan (NGO) untuk menghantar bantuan secara percuma.

“Anda perlu hubungi Suruhanjaya Tinggi Pakistan di Kuala Lumpur dan syarikat Pakistan International Airlines (PIA) akan hantar terus tanpa caj pun,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Terdahulu, beliau hadir untuk menerima secara simbolik sejumlah kotak bantuan daripada BLIA World dan Yayasan Sin Chew oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong.

Lebih 12 tan barangan keperluan yang bernilai hampir RM700,000 itu telah pun diangkut dengan penerbangan PK 895 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.

Pesawat PIA model Boeing 777-200 itu berlepas pukul 1.41 tengah hari tadi dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Islamabad kira-kira pukul 4.30 petang waktu tempatan.

Untuk penghantaran kali ini, ia melibatkan barangan keperluan penting harian yang sukar didapati di Pakistan ketika ini termasuk selimut tebal, tuala wanita, susu bayi dan baju sejuk.

Mengulas lanjut, Amna berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa PIA sedia menambah lagi kekerapan penerbangan langsung dari KLIA bagi menampung lebih banyak penghantaran bantuan.

“Setakat ini, operator udara nasional itu cuma ada dua kali penerbangan setiap minggu ke Islamabad iaitu pada hari Isnin dan Khamis tetapi permintaan dijangka boleh bertambah,” katanya.

Justeru, beliau merayu lebih banyak NGO untuk tampil kerana nilai kerugian bencana kali ini amat dahsyat sehingga mencecah RM45 bilion dan memakan masa lama untuk kembali pulih.

Banjir sejak tiga bulan lalu itu menjejaskan kehidupan harian 33 juta penduduk Pakistan apabila satu pertiga negaranya tenggelam membabitkan 116 daerah daripada keseluruhan 160 daerah.

Dalam pada itu, Ka Siong memberi jaminan bahawa setiap bantuan akan disalurkan terus kepada mangsa di wilayah terjejas teruk oleh badan pengurusan bencana nasional Pakistan.

“Saya difahamkan, ketika ini, barangan perubatan seperti pil paracetamol amat diperlukan ribuan mangsa kerana banyak kes demam denggi dilaporkan di kawasan banjir,” tambahnya.

Beliau sendiri yang berpengalaman menguruskan mangsa bah di kawasan Parlimennya itu malah mengakui, keadaan di Pakistan jauh lebih teruk kerana ia berlaku tanpa dijangka awal. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI