Sebahagian penoreh di Kampung Pinang dan Kampung Tong Pelu, Kuala Nerang kini mengeluh ekoran kejatuhan harga getah.

Penoreh getah gadai emas beli makanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA NERANG – Penurunan harga getah sejak akhir-akhir ini menyebabkan ramai penoreh terutama di Kampung Pinang dan Kampung Tong Pelu di sini mula gelisah kerana terpaksa menanggung kos sara hidup yang semakin tinggi.

Mohd. Sahbari Abd. Rahman, 54, dari Kampung Pinang berkata, harga getah yang semakin rendah memberi kesan kepada mereka sehingga ada dalam kalangan mereka terpaksa berhutang dan bergadai barangan kemas bagi meneruskan kehidupan.

Katanya, walaupun harga getah tidak stabil sejak beberapa tahun lalu, penoreh masih boleh meneruskan kehidupan lagi.

Bagaimanapun, katanya, kea­daan menjadi sangat membebankan sejak kebelakangan ini berikutan kenaikan harga barang.

“Ramai penoreh getah terpaksa berhutang di kedai runcit atau daripada saudara mara ke­rana tidak cukup duit dan harga barangan pula semakin naik.

“Harga getah skrap sekarang pula hanya RM2.40 sekilogram, sedangkan barangan dapur terus melonjak naik,” katanya di sini semalam.

Menurutnya, keadaan bertambah teruk bagi penduduk yang menoreh secara pawah dengan hasil terpaksa dibahagi dua.

Baharudin tetap menoreh walaupun harga getah rendah di Kampung Tong Pelu, Kuala Nerang baru-baru ini.

“Oleh itu sudah sampai masanya pihak berwajib mengkaji semula harga getah supaya seimbang dengan kenaikan harga barangan pada hari ini,” ujarnya.

Seorang lagi penoreh, Baharudin Awang Kasa, 60, dari Kampung Tong Pelu memberitahu, pekebun dan penoreh getah juga terpaksa menanggung kenaikan harga baja serta racun.

Ujarnya, kejatuhan harga getah menyebabkan mereka sukar membeli baja atau racun bagi menambahkan hasil pengelua­ran susu getah.

“Kami terpaksa mementingkan perut anak bini kami terlebih dahulu sebelum membeli racun atau baja getah,” katanya.

Tambahnya, kehidupan penoreh juga bertambah perit apabila tidak dapat keluar menoreh apabila musim hujan.

“Baru-baru ini saya ada menjual getah skrap yang dikumpul selama sebulan, tetapi hanya memperoleh hasil sebanyak RM200 dan kemudian terpaksa pula dibahagi kepada pemilik tanah,” ujarnya.

Sebelum ini, akhbar mela­porkan keluhan lebih 200,000 pekebun kecil di seluruh negara berikutan ketidaktentuan harga getah di pasaran yang disifatkan masih di tahap rendah.

Harga komoditi membabitkan getah beku itu selama hampir dua bulan mengalami penurunan mendadak daripada RM3.20 kepada hingga RM2.30 sekilogram ketika ini.

Bagi getah kering yang lebih 10 hari, harga dua bulan lalu RM3.80 sekilogram kini menurun kepada RM2.60.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN