fbpx

Najib sihat ketika keluar hospital- Dr. Noor Hisham

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Najib.

PUTRAJAYA- Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilaporkan berada dalam keadaan sihat ketika dibenarkan keluar dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas dimasukkan ke pusat perubatan itu pada 9 September lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, Najib dimasukkan ke HKL pada Jumaat lalu sebagai kes elektif (bukan kecemasan) bagi memastikan kesihatan beliau berada pada tahap baik dan optimum.

“Pemeriksaan dan ujian berkaitan telah dijalankan oleh pakar perunding kanan bertauliah yang terdiri daripada ketua-ketua perkhidmatan klinikal bagi bidang masing-masing.

“Pihak HKL juga telah mengadakan sidang keluarga (family conference) sebanyak dua kali yang dan dihadiri oleh mantan Perdana Menteri dan ahli keluarga beliau,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

Dr. Noor Hisham berkata, keputusan ujian terbabit telah dimaklumkan semasa sidang keluarga itu mengikut amalan professional kedoktoran.

“Mereka juga telah dimaklumkan mengenai keputusan sebulat suara pakar-pakar perunding agar beliau dibenarkan untuk didiscaj dari HKL.

“Dimaklumkan juga bahawa jenis-jenis ubat yang dipreskrib semasa kemasukan wad adalah yang sama jenisnya dan dalam senarai ubatan Kementerian Kesihatan,” jelasnya.

Kata beliau, keadaan Najib juga sihat sebelum dibenarkan discaj daripada HKL.

“KKM ingin memaklumkan bahawa kami komited dan telus dalam pemberian perkhidmatan kesihatan kepada mana-mana individu, namun pada masa sama mempunyai tanggungjawab mematuhi tata etika kerahsiaan pesakit di bawah Akta Perubatan 1971 (Pindaan 2012).

“Sebarang maklumat terperinci mengenai kesihatan seseorang pesakit boleh dikemukakan kepada Mahkamah sekiranya diarahkan Mahkamah,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI