fbpx

Johor mahu dokumentasi tarian zapin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Raven Kumar (tiga kiri) pada Festival Pertandingan Akar Kita Zapin Peringkat Kebangsaan dan Nusantara di Aeon Tebrau, Johor Bahru.

JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri akan memulakan proses dokumentasi terhadap tarian tradisional zapin bagi memastikan seni warisan yang sinonim dengan Johor itu terus berkekalan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya negeri, K. Raven Kumar berkata, aspek kebudayaan itu turut berkait secara langsung dengan adab dan budaya masyarakat tempatan.

Menurut beliau, secara tidak langsung, elemen berkenaan juga merupakan satu keunikan yang menjadi nilai tambah kepada sektor ekonomi negara dan negeri.

“Di Johor, kita perlu mula dokumentasikan tarian zapin, ini penting untuk kita tinggalkan kebudayaan yang dimiliki agar ia tidak hilang. Kita tidak mahu dalam tempoh akan datang anak-anak kita tidak tahu apa itu zapin.

“Ini kerana zapin bukan semata-mata tarian, sebaliknya setiap gerakan mempunyai simbolik dan pengajaran kepada adab dan susila budaya tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Festival Pertandingan Akar Kita Zapin Peringkat Kebangsaan dan Nusantara yang diadakan di pusat beli belah Aeon Tebrau, di sini semalam.

Tambah Raven Kumar, keunikan tarian zapin turut menyumbang kepada limpahan ekonomi negeri khususnya bagi menarik kehadiran pelancong ke dalam negara.

“Adat resam ini secara tidak langsung turut berkait dengan pelancongan, kalau kita tengok ramai pelancong datang sebab berminat dengan adat resam dan budaya masyarakat tempatan.

“Ini sekali gus mampu meningkatkan ekonomi setempat dan juga memberi limpahan kepada pelbagai perkhidmatan berkaitan yang boleh dimanfaatkan ramai pihak,” jelasnya.

Sementara itu, dalam pertandingan berkenaan, peserta dari Malaysia iaitu Akar Seni Malaysia berjaya merangkul kedudukan juara, diikuti Osam Art Community dari Indonesia dan juga Sang Peningkah, juga dari Malaysia.

Pengunjung yang hadir turut disajikan dengan persembahan artis popular tanah air seperti Noraniza Idris dan juga Naqiu. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI