fbpx
Keadaan trafik sesak dan perlahan di pusat bandar Gua Musang hari ini.

Trafik di Gua Musang perlahan, kenderaan menuju KL bertambah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG – Kenderaan yang melalui Jalan Gua Musang-Kuala Krai menghala ke Kuala Lumpur dilaporkan bergerak perlahan sejak pagi tadi.

Situasi di kawasan Rehat dan Rawat (R&R), Hentian Gua Musang di sini turut dipenuhi dengan orang ramai yang mengambil peluang untuk berhenti rehat sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing.

Seorang pengguna jalan raya, Nor Azira Rashid, 35, memaklumkan, kenderaan bergerak perlahan dari bandar Kuala Krai menuju ke Gua Musang.

Katanya, bagaimanapun, keadaan itu terkawal apabila tiada kemalangan berlaku sepanjang perjalanan.

“Saya sudah menjangka akan berlaku kesesakan kerana sesi persekolahan di Kuala Lumpur akan dibuka semula esok.

“Cuti selama seminggu ini dimanfaatkan sebaik mungkin oleh orang ramai terutamanya para pelajar untuk pulang ke kampung,” katanya.

Seorang guru, Siti Fatimah Sepeein, 33, pula berkata, pengangkutan bas menjadi pilihan untuknya pulang bercuti di kampung.

Katanya, dia membeli tiket pergi dan balik ke kampung lebih awal kerana bimbang kehabisan.

“Saya beli tiket bas seminggu sebelum cuti kerana bimbang tiket habis. Saya melihat ramai yang mengambil peluang untuk pulang ke kampung dan saya memilih untuk menggunakan pengangkutan awam bagi mengelak kesesakan.

“Saya bertolak pukul 9 pagi dari Tumpat dan sampai di Gua Musang pada pukul 2.30 petang. Kebiasaannya bas akan sampai di hentian ini kira-kira pukul 1 tengah hari,” katanya. – KOSMO! ONLINE

POPULAR