fbpx

Penceramah kenal mangsa menerusi program motivasi sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

SHAH ALAM – Seorang penceramah bebas yang ditahan berhubung kes amang seksual dikatakan mengenali mangsa-mangsanya menerusi program motivasi diadakan di sekolah sekitar negeri ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, maklumat itu diperoleh hasil siasatan awal terhadap suspek lelaki yang berusia dalam lingkungan 40-an.

Katanya, polis menerima empat laporan dengan dua dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan manakala satu lagi masing-masing di IPD Shah Alam dan Kajang.

“Kesemua laporan polis dibuat oleh empat individu berusia 17 dan 18 tahun yang mendakwa menjadi mangsa amang seksual fizikal oleh penceramah bebas.

“Suspek berkenalan dengan kesemua pengadu dalam program motivasi di sekolah di sekitar Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Arjunaidi, tangkapan ke atas suspek dilakukan kira-kira pukul 4 petang, Khamis lalu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini.

Tambah beliau, reman selama enam hari telah diperoleh dari Mahkamah Majistret Klang di sini bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan lanjut.

“Kes disiasat dibawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan,” jelasnya.

Arjunadi menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian ini kerana akan menjejaskan siasatan serta boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

“Polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan mengikut peruntukkan undang-undang kepada mana-mana pihak yang cuba mengelirukan masyarakat dengan menyebarkan berita tak sahih,” tegasnya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI