fbpx
ROHANAH menunjukkan gambar arwah anaknya, Zaid ketika ditemui di Balik Pulau baru-baru ini.

Ibu derma buah pinggang, tak sanggup lihat anak derita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BALIK PULAU – Tiada yang lebih bermakna buat seorang ibu apabila keputusannya untuk mendermakan sebelah buah pinggang untuk anaknya yang menghidap penyakit kronik seolah-olah memberi peluang kedua untuk zuriatnya itu untuk hidup dan menghapuskan penderitaan yang ditanggung.

Bagaimanapun Rohanah Ayob, 63, berkata, jangka hayat, Zaid Zainol tidak lama apabila anak lelakinya itu meninggal dunia selepas tujuh tahun melakukan pemindahan buah pinggang kiri miliknya.

Katanya, anak kelima daripada enam beradik itu telah me­ninggal dunia akibat masalah jangkitan pada paru-paru pada usia 24 tahun ketika mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang pada September 2015.

Mengimbau semula peristiwa tersebut, pesara kerajaan itu memberitahu, dia mengambil keputusan untuk menderma organ kerana tidak sanggup lagi melihat penderitaan ditanggung Zaid yang ketika itu berusia 16 tahun.

“Arwah didiagnos menghidap masalah buah pinggang ketika berusia 10 tahun. Saya tak sanggup melihat dia menjalani dialisis ketika usia masih muda dan kecil.

“Ketika rakan-rakan seba­yanya gembira ke sekolah dan bermain bersama-sama, anak saya pula terpaksa melalui segala penderitaan ini. Dia juga mahu hidup seperti rakan-rakan lain,” katanyanya kepada Kosmo!.

Menurut Rohanah, dia ada mendaftarkan anaknya untuk mendapatkan buah pinggang daripada penderma tetapi perlu menunggu lama ke­rana senarai yang panjang daripada pesakit di seluruh negara, manakala jumlah penderma pula sedikit.

Tambahnya, tiga kali nama arwah anaknya terpilih sebagai penerima tetapi malangnya terpaksa ditolak kerana buah pinggang itu tidak sesuai dengannya.

“Saya masih ingat ada sekali tu, seramai empat pesakit yang terpilih dari Pulau Pinang dan dibawa menaiki ambulans ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Namun, penerima yang berjaya hanyalah dua pesakit. Siapa yang dapat dulu, itu memang rezeki dan bonus,” katanya.

Ujar Rohanah, bermula detik itu telah timbul kesedaran untuknya menderma organ sebaik dimaklumkan oleh pihak hospital bahawa anaknya perlu me­nunggu lebih lama kerana terdapat hampir 50 senarai menunggu pesakit lain di seluruh Malaysia ketika itu.

Tambahnya, proses untuk menjalani pemindahan buah pinggang juga memerlukan prosedur dan masa.

“Hampir setahun juga kami menunggu. Bukan mudah kerana perlu melihat faktor kesihatan pesakit dan penderma. Transplan pula hanya sebulan sekali di HKL,” katanya.

Menurut Rohanah, pemindahan buah pinggang kiri dilakukan sebaik arwah anaknya menjalani rawatan hemodialisis air atau Continuous Ambulatory Peritoneal Dialysis pada 2008.

Katanya, pembedahan berjalan dengan lancar dan dia me­rasa satu kepuasan dalam hidup kerana dapat memberi satu peluang kehidupan baharu kepada anak.

“Saya tidak mengalami apa-apa kesan sampingan cuma kena jaga pemakanan dan kesihatan. Kementerian Kesihatan akan melakukan pemeriksaan kesihatan tahunan kepada penderma organ,” katanya yang reda dengan kejadian itu. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN