fbpx
AMY Mastura mengakui dia banyak menerima tawaran menyertai program pertandingan.

Takut kecaman, Amy Mastura elak masuk pertandingan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Enggan membuka ruang terhadap kecaman menjadi alasan kuat buat penyanyi juga pelakon popular, Amy Mastura menolak menyertai sebarang program pertandingan nyanyian.

Katanya, biarpun sering dipujuk beberapa pihak produksi, buat masa ini dia lebih selesa menjalani kehidupan tenang tanpa tekanan sekeliling.

“Sejujurnya saya takut nak masuk mana-mana pertandingan nyanyian. Mungkin saya memang jenis tak sukakan tekanan. Jadi saya elakkan (bertanding). Saya nak tenang-tenang saja.

“Biarlah orang kata saya tolak peluang keemasan. Apabila kita memilih kehidupan kurang tekanan bermakna kita juga kena kurangkan dedahkan diri untuk dikritik.

“Anugerah dan bakat yang Allah bagi pun bukan untuk saya terlampau terbuka. Maksudnya biarlah saya begini saja, bersederhana dalam kehidupan dan kerjaya.

“Kali terakhir saya naik ke pentas adalah Super Spontan Superstar 2017, itu pun bukan pertandingan nyanyian,” katanya kepada Kosmo! Online.

Anak seni yang menempa nama selepas meraih kejuaraan dalam Asia Bagus 1993 itu berkata demikian ketika ditemui pada sesi rakaman program Salam Dari Maya 2 di Taman Melawati, kelmarin.

Amy yang turut menyerlah sebagai pelakon dan penyanyi itu digandingkan dengan Raja Ema untuk program hiburan yang disiarkan menerusi YouTube pada 14 Oktober depan.

Penghibur berusia 51 tahun itu turut mendedahkan rasa teruja apabila dapat beraksi dengan ramai rakan seperjuangan sama era untuk acara berkenaan.

Pada masa sama, dia bersyukur penyertaan dalam arena hiburan yang pada awal dulu sekadar mencuba nasib mampu terus bertahan hingga ke tahap sekarang.

“Apa yang saya cita-citakan dulu tidak sebesar ini, malah hakikatnya dari dulu sampai sekarang saya dapat lebih lagi dalam dunia hiburan.

“Sebenarnya waktu itu saya nak buat satu album saja sebab mahu dengar suara sendiri dalam radio. Tapi tak sangka terus diterima dan kurang terdedah dengan kontroversi.

“Tidak bermakna saya baik kerana tiada kisah sensasi, sebaliknya saya bersyukur Allah jaga aib saya. Lagipun dulu tiada sosial media yang dedah semua perkara.

“Setakat ini saya tetap berwaspada apabila menggunakan sosial media. Biarlah ‘content’ biasa-biasa atau tunjuk aktiviti kerja, janji saya tidak melampau.

“Pada saya biar org kenal kita dengan benda baik kita buat, daripada orang tengok kita kemudian teringat kita buat benda tak baik,” kongsi ibu dua anak itu.

Dalam kehidupan peribadinya, penyanyi Sha Na Na itu berkahwin dengan Alvin Tham Suffian
dan mempunyai dua puteri yang sudah meningkat remaja, Adriana, 21, dan Adalia, 18 tahun. – KOSMO! ONLINE

POPULAR

BERITA BERKAITAN