SESETENGAH pihak menyifatkan dasar Sifar Covid itu dikaitkan dengan kekuasaan politik Jinping.

Lockdown Covid-19 China resahkan rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BEBERAPA jam sebelum bandar Chengdu di selatan China melakukan perintah berkurung (lockdown) pada hujung minggu lalu, Matthew Chen bergegas ke beberapa buah pasar raya bagi membeli stok bekalan.

Malangnya, bekalan sayur, ikan dan ayam di pasar raya habis diborong orang ramai, manakala kebanyakan rak yang menempatkan makanan serta barang keperluan telah kosong ekoran pembelian panik.

Lelaki berusia 30-an itu hanya sempat membeli tomato dan daging yang cukup untuk sehari sebelum memilih mendapatkan barangan runcit menerusi perkhidmatan penghantaran ketika sekatan dilaksanakan.

Bagaimanapun, Matthew bimbang berapa lama lagi dia perlu berkurung di dalam rumah dan melalui kehidupan menyeksakan ini.

“Semakin lama sekatan dilakukan, semakin banyak masalah timbul serta kesulitan untuk bertolak ansur. Pihak berkuasa Chengdu tidak memberi garis masa pembukaan semula sekatan.

“Secara peribadi, saya sudah muak dan tidak menyokong dasar sekatan ini, tetapi tiada apa yang boleh saya lakukan ketika ini. Saya hanya perlu menunggu,” katanya kepada portal berita The New York Times baru-baru ini.

SEBUAH lokasi di China yang menempatkan pesakit-pesakit Covid-19.

Sepanjang sekatan dilakukan pihak berkuasa telah menutup semua sekolah dan perniagaan tidak penting, perjalanan keluar dari China dihadkan serta pergerakan dalaman dihalang sama sekali.

Pengembara dari luar negara pula diwajibkan mendapat kebenaran memasuki China terlebih dahulu sebelum disaring dan dihantar ke hotel ditetapkan pemerintah untuk menjalani kuarantin wajib selama dua minggu.

Masalah dihadapi Matthew turut dirasai kebanyakan penduduk di Chengdu apabila ramai mengadu dalam media sosial mengenai pelbagai masalah ekoran sekatan.

Ramai juga merungut terpaksa beratur panjang dan berjam-jam lamanya pada hujung minggu bagi melakukan ujian Covid-19 seperti diperintahkan oleh pihak berkuasa.

Fenomena itu bukan saja berlaku di Chengdu, malah di seluruh China ketika negara tersebut menghadapi gelombang baharu Covid-19 selepas berlaku peningkatan kes di seluruh wilayah biarpun jumlah jangkitan baharu di China masih boleh dianggap kecil, misalnya 1,500 kes baharu pada Ahad lalu.

Situasi ini mendorong pihak pemerintah mengambil tindakan drastik dengan melakukan pelbagai sekatan dan ujian saringan secara besar-besaran seiring polisi Sifar Covid (Zero-Covid) di Negara Tembok Besar itu.

Ketika ini, lebih 70 bandar raya China sedang melaksanakan sekatan penuh dan separa sejak akhir Ogos lalu sehingga memberi kesan kepada lebih 300 juta penduduk terbabit.

Ada penduduk mendakwa, pemerintah bakal melakukan sekatan lebih menyeluruh berbanding yang pernah dilaksanakan sepanjang tiga tahun pandemik Covid-19 melanda negara tersebut.

Misalnya, pemerintah telah melakukan sekatan meluas di Shenzhen iaitu salah satu kota metropolis paling penting dari segi ekonomi yang menempatkan syarikat teknologi utama, termasuk Tencent dan Huawei.

SUASANA sebuah bandar di China yang sunyi sepi apabila perintah berkurung dilaksanakan.

Sekatan turut dilanjutkan di beberapa bahagian Wilayah Hainan, Xinjiang dan Tibet yang menjadi destinasi percutian utama sehingga menyebabkan beribu-ribu pelancong terperangkap di dalam hotel.

Ekoran sekatan dilakukan ketika ini, ramai penduduk mengalami masalah kesihatan mental akibat tekanan berkurung terlalu lama di dalam rumah.

Malah, dilaporkan ibu mengandung telah mengalami keguguran di Daqing dan ada pesakit jantung meninggal dunia di rumah selepas dinafikan rawatan perubatan kerana sekatan.

Selain itu, sekatan secara berterusan telah menjejaskan ekonomi China dengan kadar pengangguran meningkat terutama dalam kalangan orang muda.

China juga semakin terpinggir apabila sebahagian besar negara di dunia tidak lagi melakukan sekatan. Keadaan itu membuatkan masyarakatnya semakin letih untuk menjalani sekatan.

Rentetan itu, beberapa siri bantahan dilakukan penduduk supaya pemerintah memansuhkan sekatan. Di wilayah barat Xinjiang, beberapa penduduk menggunakan media sosial untuk menyeru agar sekatan dihentikan.

Sementara itu di Wuhan, komuniti kediaman Panlongcheng mengadakan protes bagi menuntut pihak berkuasa membatalkan sekatan selama seminggu dalam sebuah video tular baru-baru ini.

Menurut pegawai kesihatan tempatan, kadar vaksinasi yang rendah dalam kalangan warga emas dan kekurangan tenaga kerja kesihatan di luar bandar juga menjadi penghalang untuk melonggarkan sekatan.

Menurut data, kurang 60 peratus daripada kumpulan umur 60 hingga 69 tahun telah mendapat vaksin penuh dengan angka lebih rendah bagi golongan berusia 70 tahun ke atas.

Bagaimanapun, pakar-pakar kesihatan awam China mengatakan faktor politiklah yang sebenarnya memainkan peranan penting terhadap sekatan dilakukan memandangkan Presiden China, Xi Jinping adalah ‘orang kuat’ di sebalik dasar Sifar Covid.


RAKYAT China beratur untuk menjalani saringan Covid-19 apabila terdapat pertambahan kes.

Hal ini memandangkan Jinping sedang bersiap sedia untuk dilantik semula sebagai pemimpin tertinggi negara bagi lima tahun mendatang pada Kongres Parti Komunis ke-20 yang dijadual 16 Oktober depan.

CNN melaporkan, justeru apa yang dilakukan pemimpin-pemimpin di seluruh negara itu adalah mengenakan sekatan yang tegas biarpun pada potensi kecil penularan.

Dakwa CNN, pihak-pihak berkuasa tempatan mematuhi arahan itu untuk menunjukkan kesetiaan kepada Jinping dan tidak mahu penularan besar Covid-19 berlaku beberapa minggu sebelum kongres sekali gus menjejaskan karier mereka.

“Parti Komunis mahu memastikan tidak berlaku masalah wabak besar yang berpotensi mengancam kestabilan sosial sehingga membayangi proses peralihan kepimpinan dan mencemarkan kredibiliti kepimpinan Jinping.

“Parti memerintah telah menggunakan strategi Sifar Covid untuk berhujah bahawa model politiknya adalah lebih baik daripada Barat,” kata felo kanan kesihatan global di Majlis Hubungan Luar Negeri, Yanzhong Huang.

Sementara itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meminta Beijing memikirkan semula strategi ketat dilaksanakan ketika ini bagi menghentikan penyebaran Covid-19.

WHO beranggapan dasar dilakukan China sebagai tidak mampan memandangkan banyak negara telah bergantung kepada vaksinasi dan rawatan lebih baik berbanding sekatan.

Pusat Penyelidikan Anbound memaklumkan, pemerintahan Jinping sepatutnya memberi tumpuan kepada pemulihan pertumbuhan ekonomi seperti dilakukan Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun ketika ini.

“Mencegah risiko ekonomi harus menjadi tugas utama ketika ini,” kata kumpulan pemikir itu.

DATA menunjukkan tidak ramai warga emas China telah menerima vaksin.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN