fbpx

Tiga sekawan didakwa tipu ahli perniagaan RM192,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tan Teck Loke (kiri) dan S. Sellathurai (dua kiri) dan Shah Effendy Wahyu didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini kerana menipu RM192,000 daripada seorang ahli perniagaan pada 2019.

JOHOR BAHRU – Tiga sekawan ‘Keluarga Malaysia’ secara bersama-sama didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dakwaan memperdaya seorang mangsa sehingga kerugian sebanyak RM192,000, empat tahun lalu.

Tertuduh, Tan Teck Loke, 41, Shah Effendy Wahyu, 40, dan S. Sellathurai, 59, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Mohd. Zulhilmi Ibrahim.

Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka secara bersama telah menipu Lim Zhen Peng, 31, dengan memperdaya mangsa untuk mengurus 32 visa dan permit kerja warga asing Jabatan Imigresen dengan bayaran sebanyak RM192,000 sedangkan perkara tersebut tidak dilaksanakan.

Mangsa diperdaya untuk membuat pembayaran wang berkenaan secara berperingkat ke dalam akaun peribadi Public Bank milik Teck Loke antara 7 Ogos 2019 hingga 27 Ogos 2019 di Jalan Nakhoda 16, Taman Ungku Tun Aminah, Skudai.

Atas perbuatan itu, ketiga-tiganya didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama-sama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dan sebat dan boleh juga dikenakan denda.

Dalam rayuan jaminan, tiga orang peguam yang mewakili ketiga-tiga tertuduh secara berasingan memohon mahkamah memberikan jaminan minimum kerana masih mempunyai tanggungan isteri dan anak.

Mahkamah kemudian menetapkan kesemua tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 masing-masing dengan seorang penjamin warga tempatan.

Mohd. Zulhilmi turut menetapkan 10 Oktober ini untuk sebutan semula kes dan bagi penyerahan dokumen berkaitan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir manakala setiap tertuduh diwakili seorang peguam masing-masing iaitu, Goh Sze Han, Mohamad Azrulsani Othman dan S. Selvam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI