fbpx

Tahanan komunis sentiasa cari jalan lari dari lokap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zainab menceritakan pengalamannya menjaga lokap tahanan komunis ketika ditemui Kosmo! di Klang baru-baru ini.

KLANG – Biarpun lebih setengah abad berlalu, memori getir menjaga lokap tahanan pengganas komunis masih kekal dalam ingatan seorang pesara polis wanita sehingga ke hari ini.

Detik menakutkan itu dialami Zainab Wan Mohamed, 83, apabila dia terpaksa berdepan tahanan wanita yang cuba meloloskan diri di Balai Polis Gemas, Negeri Sembilan itu.

Menurut nenek kepada 29 cicit itu, dia menyertai polis pada tahun 1955 ketika usianya baru 16 tahun dan ditugaskan mengawal lokap ‘rumah pasung’ berkenaan setiap hari.

“Walaupun tidak berperang di hutan, menjaga tahanan komunis wanita juga tugas berat kerana mereka sentiasa licik mencari peluang untuk melarikan diri.

“Helah yang kerap digunakan mereka seperti berpura-pura mahu pergi membuang air kecil di tandas dalam tempoh lama sehingga hampir 30 minit.

“Namun, saya akan mengetuk pintu tandas sambil menjerit berkali-kali, sekali gus mematahkan cubaan mereka untuk lolos,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Meru di sini kelmarin.

Zainab yang mempunyai 10 anak mengakui geram melihat wajah pengganas komunis ketika itu kerana kekejaman mereka, namun kekal profesional menjalankan tugas.

“Dalam usia yang masih mentah dan hanya bergaji kecil, niat saya hanya satu iaitu mahu berjuang demi tanah air tercinta.

“Saya menjadi anggota polis bukan untuk mengejar wang, namun kerana minat dan semangat untuk memerdekakan tanah air ini,” ujar anak kelahiran Segamat, Johor itu.

Menurutnya, dia amat bersyu­kur dan berbangga kerana berpeluang menabur bakti kepada bangsa dan negara ketika usia muda.

“Jerih perih sepanjang ber­khidmat sebagai pasukan ke­selamatan sentiasa saya kongsi dengan keluarga supaya mereka sedar bahawa tugas kepolisan bukannya mudah.

“Jiwa saya sebagai anggota polis tidak pernah luntur dan hidup berdisiplin itu antara kunci utama untuk berjaya,” katanya yang akan menyambut hari lahir pada 14 September ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI