fbpx
Ronald (empat dari kiri) menyampaikan replika cek sempena Mesyuarat Agung Tahunan PPN Pulau Pinang di Penang Golf Resort, Bertam, Seberang Perai hari ini.

MAFI mohon MOF tingkat peruntukan Belanjawan 2023

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBERANG PERAI – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memohon pertimbangan kerajaan untuk meningkatkan peruntukan dalam Belanjawan 2023 bagi memastikan sekuriti agromakanan di dalam negara terus diperkasakan.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, pelbagai program dilaksanakan secara berterusan malah program baharu turut direncanakan bagi merancakkan sektor bekalan makanan negara.

“Beberapa pendekatan baharu antaranya program penanaman padi lima kali dalam tempoh dua tahun selain usaha memodenkan sektor agromakanan negara menerusi Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) bagi memodenkan sektor agromakan negara sejajar dengan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) memerlukan dana yang berterusan dari kerajaan.

“Justeru, MAFI mengharapkan Kementerian Kewangan akan melihat ini sebagai sesuatu yang perlu diberi keutamaan dan kita pohon agar bajet tahunan akan ditingkatkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Pulau Pinang Kali Ke-48 Tahun 2022, di sini hari ini.

Belanjawan 2023 akan dibentangkan di Parlimen pada 7 Oktober ini.

Dalam pada itu beliau memberitahu, kenaikan dan penurunan harga bekalan sejak dua tahun lalu berpunca daripada perubahan kos import luar negara yang di luar kawalan kerajaan.

“Walau bagaimanapun, kita lihat kenaikan harga makanan adalah pada tahap stabil dan masih dalam kawalan.

“Jika ianya perlu intervensi daripada kerajaan sebagaimana yang berlaku pada isu ayam dan telur di mana kerajaan memberi subsidi dan sebagainya, kita akan bantu.

“MAFI dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan sentiasa memantau bekalan dan harga bekalan makanan malah bersedia mengolah intervensi bagi memastikan harga dikenakan terhadap pengguna memadai walaupun tertakluk kepada kenaikan kos import dari luar negara,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

POPULAR