BERMULA dengan rasa ingin mencuba sekitar dua tahun lalu, pelakon baharu Hariz Hamdan tidak menyangka dia akan terus jatuh cinta dengan bidang lakonan.
Meskipun terpaksa bertatih dari bawah, bekas peserta pertandingan Hero Remaja 2020 itu sanggup meredah segala sepak terajang dunia lakonan demi menjadi seorang pelakon yang versatil.
Sedar dirinya masih hijau, Hariz yang sudah membintangi 10 buah drama dan dua filem menjadikan lokasi penggambaran sebagai ‘dewan kuliah’.
Malah, dia juga mendapatkan secebis ilmu dengan mengikuti kelas lakonan bawah tunjuk ajar pelakon terkenal seperti Fauziah Nawi, Ellie Suriaty dan Fatimah Abu Bakar.
“Saya tidak mempunyai sebarang latar belakang dunia seni, tetapi sangat meminati lakonan. Jadi, selepas pertandingan Hero Remaja 2020, saya sekadar mencuba untuk berlakon.
“Pejam celik, sudah dua tahun dan tidak sangka lakonan kini merupakan karier utama saya. Saya juga bersyukur dikelilingi oleh orang yang banyak membantu seperti pelakon-pelakon senior. Mereka tidak lokek memberikan ilmu,” tutur Hariz yang mendapat sentuhan awal daripada pengarah Amor Rizan.

Tambah pemilik nama lengkap Muhammad Hariz Muhammad Hamdan itu, pada awalnya keputusan untuk serius dalam dunia seni ditentang oleh keluarga sementelah dia terpaksa menangguhkan pelajaran di peringkat Diploma Sains dan Matematik di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Segamat, Johor.
Pun begitu, melihat kesungguhan bintang drama Kisah Cinta Rumi dan Air Mata Allisya itu dalam dunia lakonan, kini ibunya, Suzana Mohamad menjadi peminat serta pengkritik nombor satu.
“Saya masih ingat, awal-awal dahulu keluarga tidak berapa menyokong keputusan menjadi pelakon. Alasannya sebab tidak ada seorang pun ahli keluarga menjadi orang seni.
“Tetapi selepas melihat perkembangan positif dan lakonan juga boleh dijadikan karier yang menjana pendapatan lumayan, akhirnya keluarga beri sokongan.
“Paling bersyukur, ibu kini merupakan pengkritik dan peminat nombor satu saya. Jika lakonan tidak memuaskan, ibu akan kritik secara jujur dan dengan cara tersebut saya dapat perbaiki lakonan,” kongsi bintang filem Banglo Seksyen 12 dan Jemputan Ke Neraka itu.
Popular
Jika hendak dibandingkan dengan rakan seangkatannya seperti Nadhir Nasar dan Meerqeen yang terlebih dahulu meraih populariti luar biasa, Hariz melihat perkara tersebut sebagai rezeki yang sudah diatur Tuhan.
Bukan tidak ada penerbit dan pengarah yang menawarkannya posisi hero, tetapi sedar dirinya masih terlalu ‘hijau’ dan belum cukup ilmu, dia menolak tawaran tersebut dengan baik.

“Alhamdulillah, perjalanan seni saya bergerak agak pantas, tetapi tidaklah mudah, ada juga cabarannya. Cuma buat masa sekarang saya masih belum yakin untuk pegang watak hero kerana tidak cukup pengalaman.
“Saya tidak mahu ‘sapu’ begitu sahaja semua tawaran yang datang termasuk watak hero, tetapi nanti akhirnya tidak mampu memberi hasil yang memuaskan. Biarlah saya belajar perlahan-lahan sebelum yakin membawa watak hero pada masa depan,” tutur Hariz.
Meskipun baru mencecah 20 tahun, sambung pelakon muda itu, disebabkan wajahnya yang kelihatan agak matang, dia sering digandingkan dengan heroin yang lebih berusia.
Akuinya lagi, kebanyakan rakan pelakon juga tidak menyedari bahawa dia lebih muda jika tidak mendedahkan umur sebenar.
“Sejujurnya, memang ramai yang menyangka saya berusia 20-an atau lebih tua. Saya tidak kisah sebaliknya lebih suka berdiam diri dan tidak mendedahkan usia sebenar di set penggambaran.
“Dengan cara sebegitu, tidak ada sempadan antara kami dan mereka akan melayan saya seperti rakan sebaya. Berbanding jika dedahkan umur, secara automatik mereka akan layan saya seperti seorang adik walhal ketika berlakon, kami menjadi pasangan kekasih atau sahabat. Jadi, akan rasa kekok,” katanya.
Selain lakonan, pelakon kelahiran Selangor itu juga laris sebagai model. Antara kejayaannya apabila menjadi wajah untuk sebuah jenama produk penjagaan kulit terkenal.
Pencapaian tersebut agak besar buat dirinya yang baru setahun jagung dalam industri seni.
“Saya bersyukur atas rezeki yang diterima. Bukan mudah untuk sampai ke tahap ini, jadi saya harus menjaga apa yang dimiliki dengan baik dan sentiasa cuba memperbaiki diri menjadi lebih bagus,” ujar Hariz.

Imej
Demi kelangsungan karier dan kelihatan segak dalam televisyen serta pandangan umum, Hariz memilih berehat sebentar dari dunia lakonan bagi mendapatkan berat badan yang ideal.
Selain menjaga pemakanan, dia juga menjalani rutin senaman di gimnasium sebelum memasuki set penggambaran sebuah supertele, Obses siaran Astro Citra pada bulan ini.
“Saya seorang yang suka makan dan sedar saiz kelihatan agak besar dalam televisyen. Jadi, suka atau tidak saya harus diet selain aktif bersenam.
“Sebagai pelakon, saya perlu ada pakej yang lengkap. Tidak hanya bakat, visual yang menarik juga perlu kerana pelakon menjual wajah ketika bekerja,” kata Hariz.
Berbicara soal populariti, pelakon itu enggan namanya dikenali kerana kontroversi. Tetapi baru-baru ini, namanya menjadi sebutan gara-gara tular sebuah video sedutan adegan drama Biarkan Ia Pergi yang ditayangkan menerusi slot Samarinda TV3.
Dalam video tersebut, netizen tidak berpuas hati kerana mendakwa berlakunya ‘wardrobe malfunction’ atau kesalahan konsep pemakaian pelakon di tapak pembinaan seperti memakai kasut tumit tinggi, kasut kulit dan sut.
Diajukan tentang kecaman tersebut, Hariz hanya mampu tertawa. Biarpun adegan tersebut tular dan menjadi bahan jenaka netizen, dia tidak mengambil hati sebaliknya menikmati momen tersebut dengan baik.

“Kalau ikutkan memang kelakar. Saya sendiri pun ketawa membaca komen-komen netizen, ada betulnya apa yang mereka katakan. Jadi, saya ambil iktibar untuk rujukan pada masa depan.
“Apapun saya berterima kasih kerana video tersebut, pengikut media sosial bertambah sekali gus lebih ramai mengenali Hariz Hamdan. Saya mahu melihat perkara tersebut dari sudut positif sahaja,” luahnya.
Dalam perkembangan lain, Hariz yang kini sedang hangat dengan drama Cinta Hilang Kata dan Biarkan Ia Pergi (TV3) tayangan Astro Prima akan terlibat dengan sebuah karya penulis novel terkenal, Siti Rosmizah yang masih belum boleh didedahkan butirannya.
“Alhamdulillah, penonton dapat melihat wajah saya siang dan malam menerusi dua buah naskhah yang sedang ditayangkan serentak dalam televisyen.
“Selepas ini, buat pertama kalinya saya diberi kepercayaan membintangi karya Siti Rosmizah. Sebagai pelakon, saya cukup teruja kerana kita semua tahu karyanya memiliki pengikut yang ramai.
“Tiada lain yang saya harapkan selain sokongan daripada peminat untuk terus maju sebagai pelakon yang versatil,” kata Hariz menutup bicara.














