fbpx

Kerajaan NS mohon kebenaran Selangor hantar sisa pepejal ke Sepang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Aminuddin dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri, Seremban hari ini.-FOTO/ ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI

SEREMBAN – Kerajaan Negeri Sembilan memohon pertimbangan kerajaan Negeri Selangor bagi menghantar sisa pepejal dari negeri ini ke Tapak Pelupusan Sepang.

Ia berikutan penutupan Tapak Pelupusan Ladang Tanah Merah (LTM) di Port Dickson sejak 29 Ogos lepas.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, perbincangan dengan kerajaan Negeri Selangor telah diadakan dan beliau berharap kebenaran itu dapat diperoleh dalam masa terdekat.

“Kerajaan Negeri Sembilan hari ini memohon pertimbangan negeri Selangor bagi membantu kami untuk menghantar sisa buangan ke Sepang.

“Hal ini kerana, untuk (menghantar sisa pepejal) ke Tapak Pelupusan Ulu Maasop, Senaling di Kuala Pilah dan Tapak Pelupusan Sungai Muntoh, Jelebu agak sukar.

“Ini kerana ia berada di kawasan tinggi tambahan dengan bilangan yang besar (sisa pepejal). Penduduk di kawasan sekitar juga tidak berpuas hati,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru Negeri Sembilan, Teo Kok Seong memaklumkan, operasi Tapak Pelupusan LTM di Jimah, Port Dickson terpaksa dihentikan bermula 29 Ogos lalu susulan kolam takungan sisa pepejal di situ pecah sehingga menjejaskan jadual kutipan sampah di tiga buah daerah.

Arahan penutupan itu dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan di bawah Seksyen 31 dan 37 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kepada operator tapak pelupusan berkenaan.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Aminuddin meminta pihak Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) dapat memperketatkan pelesenan dan peraturan dalam aktiviti air di pantai-pantai peranginan di daerah itu.

Ia susulan berlakunya insiden melibatkan sebuah bot yang sedang menarik penumpang menaiki tiub air ‘Great Big Marble’ yang dilanggar sebuah bot lain dari arah bertentangan secara tiba-tiba di Telok Kemang dengan video kejadian itu turut tular di media sosial. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI