fbpx

Lelaki didakwa tumbuk isteri, berang muncul semula kerana harta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERTUDUH dibawa keluar dari Mahkamah Majistret, Melaka hari ini selepas mengaku tidak bersalah menumbuk isteri.

MELAKA – Gara-gara berang si isteri yang telah lama menghilangkan diri muncul kembali untuk menuntut penukaran pemilikan harta, seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menumbuk muka wanita itu, Julai lalu.

Tertuduh, Roslan Kamis, 54, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan itu dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Mazana Sinin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada isterinya, Mazlena Md. Ali, 47, dengan cara memukul di bahagian muka sebelah kiri dan tangan sebelah kanan mangsa dengan menggunakan tangan.

Tindakan itu dilakukannya pada pukul 10.45 pagi di Taman Tanjung Jaya, Tanjung Kling dalam daerah Melaka Tengah pada 25 Julai lalu.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda boleh sampai RM2,000 mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama 326A kanun sama.

Terdahulu pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sharina Farhana Nor Sa’ari mencadangkan jaminan sebanyak RM9,000 berserta syarat tambahan iaitu tertuduh tidak mengganggu mangsa sehingga prosiding selesai.

Peguam N.Gunalan yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan anak guamnya hanya bekerja sendiri dan menanggung tiga orang anak.

Difahamkan, pergaduhan itu berlaku apabila mangsa yang menghilangkan diri selama tiga tahun tiba-tiba muncul di kediaman tersebut dan meminta tertuduh membuat penukaran pemilikan harta.

Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,500 dan bersetuju dengan syarat tambahan dikemukakan pendakwaan.

Beliau turut menetapkan 18 Oktober depan sebagai sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI