fbpx

‘Ayah tak sengaja langgar emak’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mayat Saadiah ditutup dengan kain batik selepas dirempuh kereta Proton Saga yang dipandu suaminya dalam kejadian di Kota Kuala Muda, Sungai Petani kelmarin.

SUNGAI PETANI – “Ayah tak sengaja, dia baru hidupkan enjin tiba-tiba kereta ‘melambung’ dan terlanggar emak.”

Demikian penjelasan Norliyana Basiron, 29, yang merupakan anak angkat Saadiah Saad, 69, yang maut akibat dilanggar kereta jenis Proton Saga dipandu suaminya di Kampung Bukit Tukang Jusoh, Kota Kuala Muda di sini kelmarin.

Menurut wanita itu, bapanya yang berusia 76 tahun masih bersedih dan trauma dengan keja­dian tersebut.

“Ayah berulang kali beritahu kami (anak-anak) bahawa dia tidak sengaja. Ayah memaklumkan ketika kejadian dia baru menghidupkan enjin kereta dan tidak sempat berbuat apa-apa untuk mengawal kenderaan itu.

“Sebaik sahaja enjin kereta dihidupkan, kenderaan itu ‘melambung’ dan melanggar emak yang kebetulan berdiri di hadapan,” katanya semalam.

Cerita Norliyana, bapanya tergamam melihat kejadian itu sehingga terpaksa dibantu oleh jiran datang untuk mematikan enjin kereta.

Berita berkaitan: Warga emas maut dirempuh kereta dipandu suami

Menurut Norliyana lagi, hubungan ibu serta bapa angkatnya itu begitu akrab dan mereka sering keluar bersama.

“Majlis kenduri di Kampung Bukit Tukang Jusoh semalam (kelmarin) adalah majlis ken­duri kedua yang dihadiri mereka. ­Biasanya mereka berdua ke mana-mana sahaja,” ujarnya.

Orang ramai mengangkat mayat Saadiah yang dilanggar kereta dipandu suaminya.

Jenazah arwah Saadiah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Teluk Amboi, Kota Kuala Muda di sini.

Kosmo! Online semalam melaporkan seorang wanita warga emas maut selepas secara tidak sengaja dirempuh kereta Proton Saga dipandu suaminya sewaktu mereka hendak pulang dari maj­lis kenduri kahwin di Kampung Bukit Tukang Jusoh.

Kenalan mangsa, Che Puteh Ismail menunjukkan lokasi mangsa, Saadiah dirempuh kereta dipandu suaminya sendiri di Kampung Bukit Tukang Jusoh, Kota Kuala Muda kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 3 petang itu, Saadiah yang merupakan peniaga nasi lemak dan pulut udang meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecede­raan dalaman.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI