fbpx

Diskaun harga tiket Teater Muzikal Upin & Ipin Pin Pin Pom!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
POTONGAN 50 peratus harga tiket Teater Muzikal Upin & Ipin Pin Pin Pom sempena cuti sekolah.

KUALA LUMPUR – Sempena musim cuti persekolahan, Les’ Copaque Production menawarkan potongan harga sehingga 50 peratus untuk pementasan Teater Muzikal Upin & Ipin – Pin Pin Pom!

Teater berdurasi lebih satu jam tersebut akan ditayangkan bermula hari ini selama dua hari di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Menurut Pengarah Urusan Les’ Copaque Production Sdn. Bhd, Burhanuddin Md. Radzi, potongan harga dibuat bagi menarik lebih ramai peminat watak animasi popular Upin & Ipin menonton teater berkenaan.

“Kami memberikan potongan harga yang banyak buat penonton tempatan. Sebenarnya penganjur teater ini merupakan penganjur antarabangsa, namun saya tahu orang Malaysia kalau tiket mahal, mereka tidak akan pergi tengok.

“Melihat penjualan tiket yang agak perlahan, pihak kami meminta untuk penganjur mengurangkan harga tiket sehingga 50 peratus. Syukur penganjur mengizinkan, saya sedar kos penganjuran teater cukup tinggi.

“Jadi kami harapkan sokongan daripada penonton tempatan, kerana ini adalah produk Malaysia dan kami mahu mempromosikan sehingga ke luar negara,” katanya kepada Kosmo! Online selepas majlis tayangan media baru-baru ini.

Tambah Burhanuddin, dia berbangga melihat hasil karya pengarah, Siti Rohaya Atan dan pasukannya yang cukup menghiburkan selepas dua bulan latihan.

“Saya berbangga melihat hasilnya kerana produksi tempatan mampu mencapai tahap sama seperti produksi antarabangsa.

“Upin & Ipin adalah produk kebanggaan negara kita. Impian saya mahu menjadi produk Upin & Ipin seperti Disney yang boleh mengadakan siri jelajah ke seluruh dunia.

“Sekiranya sambutan bagus di sini, mungkin kita akan buat sebagai acara tahunan atau dua tahun sekali.

“Insya-Allah seterusnya teater muzikal ini akan dipersembahkan di Stadium Tertutup Singapura pada 18 Disember nanti dan kemudian di Indonesia, tahun depan,” katanya.

Teater muzikal tersebut menampilkan lakonan dan aksi maskot Upin dan Ipin serta enam sahabatnya dalam pengembaraan dunia penuh magik.

Pementasan teater menggunakan teknologi terkini seperti teknik kesan khas, efek pencahayaan serta pengunaan LED skrin bagi memberikan impak luar biasa.

Lagu-lagu yang dipersembahkan adalah Gembira Bermain dan beberapa lagu-lagu baru seperti Upin & Ipin Berani dan Pin Pin Pom!.

Menariknya buat julung kalinya, pementasan tersebut menampilkan beberapa watak baharu ke pentas teater seperti Pahlawan Magik Upin Ipin dan Nenek Kebayan.

Teater yang dihasilkan oleh Les’ Copaque Production dan diuruskan bersama oleh syarikat Star Fotress Sdn. Bhd. tersebut dipentaskan pada pukul 11 pagi, 3 petang dan 8.15 malam.

Teater Muzikal Upin & Ipin – Pin Pin Pom! berkisar mengenai Upin dan Ipin secara tidak sengaja terjumpa dan membawa pulang batu delima sakti milik Nenek Kebayan.

Nenek Kebayan yang mempunyai niat jahat untuk menakluki dunia magik, memerlukan kuasa dari batu delima sakti tersebut.

Upin dan Ipin bertukar menjadi Pahlawan Magik lalu menentang Nenek Kebayan.

Tiket berharga serendah RM69 boleh didapati menerusi laman web, https://my.trip.com/w/UpinIpin-2022. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI