fbpx

Muktamar Pas: Abdul Hadi tidak sentuh isu MN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Hadi memeriksa perbarisan kehormat Jabatan Amal sebelum merasmikan Muktamar Tahunan Pas Pusat Ke-68 di Kompleks Pas Kedah, Alor Setar hari ini. Foto SHAHIR NOORDIN

ALOR SETAR – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang tidak menyentuh tentang isu Muafakat Nasional (MN) bersama UMNO ketika menyampaikan ucapan dasarnya pada Perasmian Muktamar Tahunan Pas kali ke-68 di Kompleks Pas Kedah sini hari ini.

Beliau sebaliknya menyatakan kesediaan untuk berbincang dengan semua pihak yang menunjukkan tanda-tanda keikhlasan bagi mencari jalan penyelesaian supaya kembali kepada Islam.

“Hal ini sangatlah penting bagi mengatasi masalah umat yang besar, bukan sekadar agenda politik yang sempit, jangka masa pendek dan tidak beristiqamah bersama Islam,” katanya ketika berucap merasmikan Muktamar Tahunan Pas ke-68 di Kompleks Pas Kedah di sini hari ini.

Kata Abdul Hadi, Pas bertanggungjawab mengajak perpaduan umat untuk melakukan islah daripada kesilapan kerajaan terdahulu dan berusaha menyatukan parti Melayu Islam yang berselerak dengan pendekatan yang berpecah sebelum ini.

“Seterusnya menyatukan kalangan bukan Islam yang tidak esktrem bagi membentuk sebuah negara masyarakat majmuk yang sejahtera,” ujarnya.

Menurut beliau, kerjasama dalam perpaduan itu bagaimanapun ada sempadannya iaitu hanya dalam perkara kebaikan dan taqwa seperti perpaduan umat berlandaskan tali Allah iaitu Islam.

“Ia menegakkan adil kepada semua, melakukan kebajikan dan meninggalkan yang salah kembali ke pangkal jalan.

“Jika seseorang itu berdosa dan insaf, maka dibuka pintu taubat dan pengampunan. Namun, Pas tegas tidak mengadakan sebarang kerjasama dalam perkara dosa seperti meneruskan permusuhan dan menyembunyikan dosa tanpa insaf dan taubat,” jelasnya.

Malah, ujar Abdul Hadi, Pas juga tidak memejamkan mata terhadap kemungkaran seperti rasuah, politik wang, politik mahu jawatan, salah laku dan salah urus.

“Ini kerana meraikan kemungkaran semata-mata menjaga hati dan kepentingan yang salah sehingga meninggalkan prinsip, adalah konsep ta‘awun (kerjasama) yang salah dan berdosa,” jelasnya.

Kata beliau lagi, Pas menolak sesiapa sahaja yang mengambil pendekatan yang terpesong daripada konsep ta‘awun berlandaskan petunjuk al-Quran.

“Sehubungan itu, mandatnya diserahkan kepada Majlis Syura Ulama’ dan Pas Pusat untuk membuat penelitian dan keputusan dalam urusan berkaitan hukum, dasar dan strategi bagi menghadapi pilihan raya dan segala kemungkinan selepas pilihan raya,” katanya.

Tambahnya, perkara itu adalah demi memastikan Islam terus memimpin termasuk dalam urusan penentuan kerusi dan calon dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI