fbpx

Kehilangan wang projek LCS lebih penting berbanding siapa Zainab – Rafizi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Rafizi

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli menyifatkan ‘kehilangan’ wang projek kapal tempur pesisir (LCS) lebih penting kerana ia melibatkan wang rakyat berbanding siapa sebenarnya Zainab Mohd. Salleh.

Rafizi yang juga bekas Ahli Parlimen Pandan berkata, isu identiti Zainab bakal terjawab jika pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan berhubung perkara itu.

“Soal Zainab itu akan terjawab sendiri, apa yang ditulis dalam laporan forensik audit jelas,” ujarnya ketika kepada Pemberita hari ini.

Terdahulu, beliau bersama peguam dan penyokongnya tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul pukul 3 petang bagi merakamkan keterangan.

Pada masa sama, tegasnya, pihak berkuasa perlu menjalankan siasatan susulan satu laporan polis dibuat Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berhubung dakwaan salah guna kuasa melibatkan perolehan LCS.

“Dakwaan yang dibuat bukan berdasarkan khabar angin sebaliknya, dokumen laporan audit yang melalui Kabinet.

“Saya menghormati pihak berkuasa perlu menjalankan tugas mereka, namun saya harap satu lagi laporan dibuat Akmal dapat dipercepatkan siasatan,” ujarnya.

Jelas Rafizi lagi, proses itu sama seperti kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn. Bhd.

“Pada awalnya mereka nafi namun, setelah SPRM dan PDRM siasat dengan bidang kuasa yang ada sehingga dapat menjejaki wang, akhirnya ia terjawab dengan sendiri,” katanya.

Terdahulu, Rafizi dipanggil ekoran laporan polis dibuat terhadapnya berkaitan dakwaan mengenai projek LCS membabitkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad.

Rafizi sebelum ini mendakwa Abdul Latiff mempunyai isteri kedua bernama Zainab Mohd. Salleh yang mendapat kontrak Kementerian Pertahanan bernilai jutaan ringgit untuk projek LCS sedangkan menteri terbabit sudah menafikan hubungannya dengan wanita itu. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI