fbpx

Kilang terbiar proses arak haram bernilai RM4 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian arak yang dirampas dalam serbuan Op Kontraban baru-baru ini.

SEREMBAN – Kegiatan sebuah kilang terbiar yang dijadikan tempat memproses arak secara haram di Kampung Orang Asli Broga, Lenggeng di Nilai di sini terbongkar dengan rampasan keseluruhan bernilai RM4 juta dalam Op Kontraban yang dijalankan baru-baru ini.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ruslan Khalid berkata, dalam serbuan pada pukul 5.30 petang, 25 Ogos lalu sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Khas (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan turut menahan tiga lelaki warga Myanmmar berusia 30-an yang merupakan pekerja di premis tersebut dan dua lelaki tempatan berusia 40-an.

“Ketika serbuan, dipercayai terdapat lima pekerja warga Myanmmar sedang menjalankan operasi memproses arak , namun difahamkan dua daripada mereka berjaya melarikan diri melalui pintu ‘rahsia’ bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Ini merupakan serbuan kilang memproses arak secara haram yang pertama dan terbesar di Negeri Sembilan di mana sindiket memproses arak dalam masa membuat pembungkusan dalam kotak sebelum dipasarkan di dalam dan luar negara,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Ruslan, taktik sindiket yang aktif sejak dua tahun lalu itu adalah dengan menyewa sebuah kilang terbiar dengan menggunakan pintu utama di bahagian belakang seolah-olah premis tidak didiami.

“Kilang itu dipercayai menggaji seramai 12 orang pekerja warga Myanmar, malah premis itu turut dijadikan tempat tinggal mereka,” katanya yang memberitahu pasport mereka didapati telah tamat tempoh.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan arak yang dirampas dalam serbuan tersebut adalah 22,848 tin arak haram yang dianggarkan bernilai RM182,784, turut dirampas pelbagai peralatan dan mesin memproses arak keseluruhan berjumlah RM4 juta.

“Berdasarkan siasatan, setiap tin arak itu mengandungi kandungan alkohol antara 12 hingga 18 peratus dan dijual pada harga pasaran RM5 hingga RM10 setin.

“Hasil siasatan lanjut, pihak polis telah berjaya menahan dua lelaki tempatan berusia 40-an selepas kedua-dua suspek hadir memberi keterangan di IPK Negeri Sembilan,” katanya.

Tambah beliau, kesemua tangkapan direman selama 12 hari bermula 25 Ogos hingga 5 September depan untuk siasatan lanjut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI