DATARAN Lang menjadi lokasi wajib dikunjungi orang ramai untuk merakam kenangan indah bersama orang yang tersayang.

Percutian solo ke Langkawi lebih menyeronokkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Oleh Shiffa Najihah Abdul Rahman

Baru-baru ini, saya mengambil keputusan untuk bercuti secara solo bagi menenangkan fikiran dan ‘lari’ seketika daripada masalah kerja.

Memandangkan saya belum pernah bercuti ke mana-mana destinasi secara sendirian, timbul perasaan bimbang untuk pergi ke lokasi yang jauh.

Maklumlah, kita baru dibenarkan merentas negara selepas begitu lama ‘terkurung’ ekoran pandemik Covid-19, jadi tidak begitu berani untuk melancong ke luar negara biarpun ke negara jiran seperti Thailand dan Indonesia.

Justeru, saya memilih untuk berkunjung ke Pulau Langkawi, Kedah sebagai lokasi percutian secara sendirian.

Sememangnya, Langkawi adalah destinasi pilihan saya kerana ia sebuah pulau percutian yang menarik, menenangkan dan selamat untuk dikunjungi secara solo.

Saya menaiki penerbangan pada sebelah pagi bagi membolehkan mempunyai waktu lebih panjang di sana.
Memandangkan sudah begitu lama tidak menaiki pesawat, saya agak gementar dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 agak awal dan menghabiskan masa terluang dengan melepak di sebuah kafe.


LAKSA ikan sekoq antara menu yang wajib dicuba pengunjung jika ke Langkawi.

Sebaik mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, saya terus menempah perkhidmatan e-hailing
untuk ke Dataran Lang.

Biarpun sudah banyak kali mengunjungi Langkawi, saya pasti tidak melepaskan peluang untuk mengunjungi tempat itu untuk merakam gambar kenangan.

Kemudian saya bergerak ke Pantai Cenang untuk makan tengah hari dan bersiap untuk mendaftar masuk ke hotel yang sudah ditempah di situ.

Selepas mendaftar masuk, saya berehat seketika dalam bilik hotel sebelum mandi dan bersiar-siar di kawasan pantai, sambil melihat gelagat manusia dan membaca buku.

Memandangkan percutian ini bersifat santai, saya tidak begitu memikirkan tentang itinerari dan hanya mahu menghabiskan masa dengan berehat.

SUASANA matahari terbenam di Pantai Cenang sememangnya mendamaikan perasaan sesiapa sahaja.

Saya juga tidak melepaskan peluang untuk melihat matahari terbenam sambil menghirup minuman sejuk di pantai itu.

Keesokan harinya, selepas bersarapan di hotel, saya menuju ke lokasi paling wajib dan paling meriah sepanjang berada di Langkawi iaitu gedung beli-belah terkenal di pulau legenda itu untuk membeli barangan seperti coklat untuk ibu bapa dan adik-adik di rumah.

Saya membelanjakan sekitar RM500 di situ. Antara barangan yang dibeli termasuklah coklat dan beberapa jenis minyak angin untuk kegunaan rumah.

Memandangkan perut pun sudah mulai lapar, saya ke gerai menjual laksa ikan sekoq (ikan seekor) yang merupakan satu lagi destinasi tular di pulau peranginan itu.

Itu merupakan kali pertama saya berkunjung ke situ selepas melihat lokasi berkenaan yang tular di media sosial.

Bagi saya, laksanya agak tawar dan tidak begitu pedas, namun saya tetap sukakannya. Saya juga turut memesan air kelapa memandangkan cuaca panas.

Selepas menjamu selera, saya mendaftar masuk ke sebuah lagi hotel lain di pekan Kuah.

Selepas mendapatkan rehat yang cukup, keesokan harinya saya menaiki pesawat untuk kembali ke Kuala Lumpur.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN