fbpx

Dakwaan Lokman Adam disifatkan sebagai tidak berasas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kamarul Zaman menunjukkan laporan polis yang dibuat ke atas Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Lokman Noor Adam di IPD Putrajaya di sini, hari ini.- Foto FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Tindakan bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam yang mendakwa terdapat perjanjian di antara Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung beberapa perkara dilihat sebagai tidak berasas.

Pegawai Khas di Pejabat Perdana Menteri, Dr. Kamarul Zaman Yusoff berkata, beliau telah diarahkan oleh Perdana Menteri sendiri untuk membuat satu laporan polis hari ini berhubung dakwaan tersebut yang disifatkan sebagai berniat jahat.

“Kita dapati bahawa beliau (Lokman) telah membuat fitnah yang amat jahat dengan mendakwa bahawa perjanjian pembentukan kerajaan di antara Perdana Menteri dan Tan Sri Muhyiddin Yassin mengandungi beberapa butiran yang tidak benar.

“Dia (Lokman) kata pada butiran kesembilan terdapat perjanjian agar kes mahkamah Datuk Seri Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Tun Razak disegerakan manakala pada butiran ketujuh pula didakwa ada perjanjian untuk tidak menukar peguam negara. Itu tidak benar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya di sini hari ini.

Jelas Kamarul Zaman, dakwaan tersebut adalah tidak benar sama sekali kerana pada butiran ketujuh di dalam perjanjian itu hanya menyebut mengenai aku janji untuk mengekalkan pelantikan ahli-ahli parti Perikatan Nasional dalam badan-badan berkanun dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan sahaja.

“Pada butiran kesembilan di dalam perjanjian kesefahaman yang sebenar pula hanyalah aku janji untuk mengagihkan peruntukan khas Perdana Menteri mengikut peruntukan tertentu yang telah dipersetujui.

“Jadi memang tidak ada di mana-mana butiran dalam perjanjian tersebut kedua-dua dakwaan jahat dan liar yang dibuat oleh Lokman Noor Adam,” tegas beliau.

Tambah Kamarul Zaman, pihaknya berpendapat bahawa saranan Lokman agar UMNO mengambil tindakan disiplin terhadap Ismail Sabri kerana terdapat campur tangan dalam sistem perundangan dan Jabatan Peguam Negara adalah sangat tidak berasas.

“Malah kita berpendapat bahawa beliau (Lokman) lah yang sepatutnya dihadapkan ke Lembaga Disiplin kerana membuat satu tuduhan yang amat liar dan tidak berasas terhadap Perdana Menteri yang juga merupakan Naib Presiden UMNO.

“Satu laporan polis berhubung perkara ini telah pun dibuat jadi kita tunggu tindakan seterusnya. Diharapkan rakyat mendapatkan berita daripada sumber yang sahih dan jika ada perjanjian sedemikian, tunjukkanlah bukti, jangan cakap kosong,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof ketika dihubungi mengesahkan telah menerima laporan tersebut yang dipanjangkan kepadanya dari IPD Putrajaya untuk tindakan selanjutnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI