fbpx

TBB mewujudkan 14,000 peluang pekerjaan dengan nilai pelaburan RM6 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri Yaakob (tengah) merasmikan ISES ke-5 2022 di KLCC hari ini.

KUALA LUMPUR – Kerajaan menjangkakan 14,000 peluang pekerjaan dan nilai pelaburan baharu berjumlah RM6 bilion dapat diwujudkan bagi menyokong pembangunan industri Tenaga Boleh Baharu (TBB) negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia adalah sebahagian langkah awal merancakkan lagi komitmen negara dalam peralihan tenaga dengan melaksanakan empat program serta pembaharuan sistem pembekalan elektrik.

“Pertama, kerajaan meluluskan peruntukan dan pengagihan semula kuota TBB sebanyak 1,200 megawatt (MW) bagi sumber solar.

“Ia akan diagihkan untuk pelaksanaan program di bawah mekanisme sedia ada termasuk New Enhanced Dispatch Arrangement (NEDA) dan program pemasangan solar di bumbung bangunan,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Tenaga Lestari (ISES) Ke-5 2022 di sini hari ini.

Menurutnya, penerokaan kaedah pelaksanaan program TBB baharu seperti pembangunan taman solar (solar park), pembekalan elektrik untuk tujuan pusat-pusat data baharu serta penjanaan hidrogen hijau dan sebagainya.

Tambahnya, penyediaan opsyen baharu perolehan bekalan elektrik hijau kepada syarikat korporat melalui konsep Perjanjian Pembelian Tenaga Maya atau Virtual Power Purchase Agreement (VPPA), mulai suku tahun keempat 2022, dengan tawaran kuota 600MW.

Mengulas lanjut, beliau berkata, program kedua ialah melaksanakan inisiatif perintis pembangunan Pulau Tenaga Hijau di Pulau Redang dan Pulau Perhentian, Terengganu bagi menyediakan bekalan elektrik yang konsisten, mampu bayar dan rendah pelepasan karbon.

“Pengguna elektrik di kedua-dua buah pulau peranginan itu akan menerima bekalan elektrik selama 24 jam menjelang tahun 2025, sekali gus mengurangkan kirakira 70 peratus pelepasan gas rumah kaca,” ujarnya.

Jelasnya, bag program ketiga pula, membangunkan kerangka Renewable Energy Certificate (REC) Kebangsaan yang jelas dengan tadbir urus dan kawal selia yang baik dan teratur, agar REC yang dihasilkan di negara ini mempunyai kredibiliti, telus dan nilai yang tinggi.

“Sementara bagi program keempat, menetapkan kerangka perundangan kawal selia keselamatan pembangunan infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik (EV) supaya aspek keselamatan awam dan pengguna terpelihara dan terjamin,” katanya.

Menurutnya, Garis Panduan Pembangunan Infrastruktur EV di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447) akan dikuatkuasakan pada suku tahun keempat 2022 bagi memastikan pembangunan infrastrukturnya dilaksanakan dengan selamat dan teratur mengikut piawaian yang ditetapkan.

“Saya juga ingin memaklumkan bahawa, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan kerjasama Syarikat MySuri Biz Technologies Sdn. Bhd. akan menyediakan 1,000 unit EV teksi, sebagai menyokong usaha penyahkarbon negara. Keterlibatan pihak GLC seperti TNB perlu dipergiatkan bagi menyokong pembangunan industri EV negara.

“Saya yakin, sekiranya diwujudkan satu dasar peralihan tenaga yang berdaya maju, kita mampu menarik pelaburan syarikat korporat yang memerlukan bekalan elektrik hijau,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI