fbpx

Simpan dinar emas untuk mengerjakan umrah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mustafa pada majlis pelancaran produk terbaharu dinar emas baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Jika dahulu, Mustafa Rabbani, 55, dikenali sebagai penebar roti canai dan pe­ngusaha kedai makan tetapi kini beliau boleh berbangga dengan hasil usahanya membangunkan empayar perniagaan emas yang mula diteroka sejak tahun 2015.

Pengasas Dinar Emas Edaran Trading Sdn. Bhd. (DEET) berkata, melangkah ke dunia perniagaan emas adalah tindakan beraninya untuk keluar daripada kepompong berisiko dalam meneruskan kelangsungan hidup­nya menjadi penebar roti canai dan peniaga kedai makan.

Lima tahun terlibat dalam perniagaan runcit berasaskan modal dan jualan harian dengan pendapatan tidak menentu membuatkan semakin hari ha­tinya membe­rontak ekoran berdepan dengan pelbagai cabaran sehingga menjejaskan pendapatan serta perbelanjaan keluarganya.

Bermodalkan wang simpanan, anak kelahiran Pontian, Johor itu tidak berpaling ke belakang lagi dan nekad untuk membuka sebuah kedai emas di Jalan Dwitasik, Cheras, Kuala Lumpur.

Beliau tidak kekok dalam dunia baharu itu kerana pengalamannya dalam dunia perniagaan membolehkan operasi, jualan dan pengukuhan jenama dilaksanakan dengan jayanya.

Pada peringkat awal perniagaan, segalanya berjalan de­ngan lancar tetapi selepas lebih dua tahun mengusahakan kedai emas tersebut muncul pula onar dan masalah berkaitan pengurusan selain kewangan memaksa operasi terpaksa dihentikan sekitar tahun 2017 buat sementara waktu.

Minatnya yang masih mendalam terus membuatkan hati usahawan ini membuak-buak untuk kembali beraksi dengan mencari idea baharu bagi terus bersaing dalam dunia mencabar tetapi menawarkan potensi lumayan.

Mustafa menjelaskan, meskipun tiada kedai emas untuk diuruskan tetapi beliau masih menjalankan pelbagai aktiviti berkaitan bagi mencari peluang berpotensi untuk jangka panjang.

Pada bulan April tahun ini, usahawan tersebut kembali ke dalam industri berkenaan tetapi dengan mempertaruhkan empayar baharunya melalui tawaran produk dinar emas.

“Melalui dinar emas ini, perniagaan saya bangkit semula terutamanya selepas pandemik Covid-19 yang mana ramai orang hilang pekerjaan dan simpanan serta mereka mula sedar tentang kepentingan menyimpan emas,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini baru-baru ini.

Mustafa menerangkan, DEET dibangunkan untuk membantu masyarakat melabur menerusi bar dan dinar emas kerana pelaburannya sangat menguntungkan, malah nilainya tidak mudah jatuh walaupun menghadapi ketidaktentuan ekonomi.

“Pada masa sama, menerusi DEET, saya menggalakkan orang ramai menjadi ejen dan stokis supaya mereka boleh menjana pendapatan sendiri.

“Sehingga kini, saya mempunyai kira-kira 10,000 ejen termasuk stokis serta rakan niaga menerusi DEET di seluruh Malaysia,” katanya sambil menambah syarikat bakal membuka kedai emas kedua di Batang Kali, Hulu Selangor pada hujung bulan ini.

Mengulas lanjut, Mustafa berkata, selain pasaran dalam negara, dinar emas DEET ini juga telah melebarkan sayapnya ke tujuh buah negara lain termasuk Indonesia, Brunei, Filipina, Vietnam, dan India.

“Pasaran terbesar DEET di luar negara adalah di Indonesia dan buat masa ini, kami memiliki 5,000 ejen termasuk stokis serta rakan niaga di seluruh negara.

“Selepas ini, DEET akan cuba menembusi pasaran di sekitar Asia Barat kerana ramai pelabur di sana berminat terhadap dinar emas DEET dan maklum balas daripada masyarakat di negara tersebut juga baik,” ujarnya.

Pada masa sama, Mustafa berkata, selain menawarkan emas perhiasan, bar dan dinar emas, DEET turut ­menyediakan pakej umrah kepada penyimpan dinar emasnya.

“Apabila penyimpan sudah cukup simpanan dinar emas, mereka boleh cagarkan dinar tersebut untuk menyertai pakej umrah bersama kami.

“Sehingga kini, lebih 30 orang sudah mendaftar pakej umrah dan mereka akan bertolak pada Oktober depan.

“Jadi, ini membuktikan pelabur dinar emas boleh memanfaatkan pelaburan ma­sing-masing untuk menunaikan umrah,” jelasnya.

Sementara itu, ketika ditanya tentang masa hadapan perniagaannya, Mustafa memberitahu syarikat merancang untuk membuka kira-kira 20 kedai emas dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Beliau berkeyakinan sasaran itu dapat dicapai memandangkan sambutan terhadap dinar emas di negara ini amat memberangsangkan ketika ini.

“Menjelang beberapa bulan akan datang, syarikat merancang untuk menjual 10,000 keping dinar emas.

“Perancangan yang direncanakan untuk tahun depan pula, DEET akan mempunyai cawang­an kedai emas di setiap negeri,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI