fbpx

Mahkamah: SU Agung Muda didakwa berhubung perhimpunan LCS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Amir Hariri ketika tiba di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini. FOTO Faiz Alif

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Amir Hariri Abd. Hadi didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan gagal memaklumkan pihak polis perhimpunan ‘Mana Kapal Tempur Pesisir (LCS)?’.

Bagaimanapun Amir Hariri, 31, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Fardiana Haryanti Ahmad Razali.

Mengikut pertuduhan, tertuduh selaku penganjur perhimpunan ‘Mana Kapal Tempur Pesisir (LCS)?’
didakwa gagal memberitahu pihak polis yang menjaga daerah Dang Wangi, di sini, lima hari sebelum mengadakan perhimpunan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di hadapan Kompleks Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini pukul 2 petang pada  14 Ogos lalu.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 9(5) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000, jika sabit kesalahan.

Terdahulu pendakwaan yang diwakili Timbalan-timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Radzi Shah Ab. Razak dan Fatin Hanum Abdul Hadi mencadangkan jaminan RM10,000 selain syarat pasport diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh dilarang daripada membuat sebarang komen di media sosial berkenaan kes dihadapinya.

Bagaimanapun peguam Beatrice Chin Yuen Xin yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan antara RM500 hingga RM1,000 atas alasan anak guamnya tidak bekerja dan baru menamatkan pengajian di peringkat sarjana di luar negara.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 3 November ini untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI