fbpx

Mahkamah: Abdul Azeez masuk hospital, keputusan batal 13 pertuduhan ditangguh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Azeez.

PUTRAJAYA – Rayuan bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim untuk membatalkan 13 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapinya ditangguhkan lagi ke 5 September ini di Mahkamah Rayuan di sini hari ini.

Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Seri Kamaludin Md. Said menetapkan tarikh baharu itu selepas peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili  Abdul Azeez memaklumkan anak guamnya telah telah dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selepas mengalami masalah kesihatan pada pukul 2 pagi tadi.

“Anak guam saya mengalami sakit berkaitan perut dan sekarang berada di PPUM. Saya mohon satu tarikh lain bagi keputusan kes,” kata peguam itu.

Semasa prosiding, panel tersebut menyatakan mahkamah sudah mempunyai keputusan mengenai rayuan perayu namun Amer menyatakan beliau tidak sangka anak guamnya mengalami masalah kesihatan.

Dalam prosiding sama, Amer juga turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa representasi yang dihantar ke Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung pertuduhan masih tiada jawapan.

Mendengar perkara itu, responden yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Ku Hayati Ku Haron kemudian memaklumkan akan menyampaikannya kepada AGC.

Ketika prosiding, Hakim Kamaludin berkata, mahkamah tidak mempertikaikan tahap kesihatan perayu, namun berharap proses mahkamah tidak disalah guna.

“Kes ini sudah banyak kali ditangguhkan dan kita banyak kes lain yang perlu didengar. Berkaitan representasi jika tiada jawapan daripada mereka, kita anggap tiada apa-apa.

“Namun, kita berharap pihak terbabit menjawab (representasi itu), kalau tolak perlu beritahu supaya ada jawapan serta perkara itu tidak tergantung,” kata beliau.

Selain Hakim Kamaludin dua lagi panel yang turut bersidang ialah Hakim Datuk Abu Bakar Jais dan Hakim Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali.

Sebelum ini, Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Azura Alwi menetapkan 30 Ogos ini untuk sebutan kes bagi mengetahui status keputusan rayuan tersebut dan juga perkembangan representasi dan tarikh itu dipersetujui oleh kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan.

Pada 12 Mac 2021, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin menolak permohonan Abdul Azeez untuk membatalkan kesemua pertuduhan itu atas alasan permohonan tersebut tidak mempunyai sebarang merit yang membolehkan mahkamah menggunakan budi bicaranya untuk berbuat demikian.

Beliau berpuas hati, semua pertuduhan telah dirangka dengan sempurna dan menjadikan satu tindakan pramatang pada peringkat ini jika mahkamah memutuskan semua pertuduhan yang dikemukakan adalah tidak berasas.

Pada 12 April 2021, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Ahli Parlimen Baling itu untuk menangguhkan perbicaraan kes itu di Mahkamah Sesyen sehingga tamat rayuan bagi keputusan mahkamah terdahulu.

Seramai tujuh saksi pendakwaan telah dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan yang bermula 19 Ogos 2020.

Mengikut pertuduhan Abdul Azeez didakwa atas 13 pertuduhan berkaitan projek pembinaan lebuh raya dan naik taraf jalan raya di Kedah dan Perak iaitu melibatkan tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta dan 10 pertuduhan penggubahan wang haram.

Projek tersebut melibatkan Lebuhraya Persisiran Pantai Baru, kerja-kerja menaik taraf Jalan Persekutuan FT005 (Teluk Intan ke Kampung Lekir, Perak). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI