KEBIJAKSANAAN menjalinkan padanan baju dengan jaket membuatkan wanita tampil yakin.

Tarikan gaya fesyen wanita kontemporari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Pastinya ramai alami situasi yang mana apabila anda berdiri di hadapan cermin, pelbagai andaian dan persoalan terlintas di fikiran.

Ia seperti: “Adakah saya bergaya atau berpakaian macam ibu atau anak saya?, “adakah saya bergaya sesuai umur?”, “adakah saya memaksimumkan kelebihan rupa paras yang ada?” dan banyak lagi.

Kita juga sering memikirkan sama ada warna pakaian yang dipakai terlalu terang atau reka coraknya terlalu sarat hingga menyakitkan mata.

Juga mungkin tebuk lehernya terlalu luas hingga memperlihatkan bahagian dada yang sepatutnya ditutup atau mungkin anda berasa pakaian anda terlalu menutup badan.

Malah, paling dibimbangi adalah gaya kita itu membuatkan diri tampil lebih tua daripada usia sebenar.

Gaya dalam interpretasi keterampilan wanita kontemporari boleh diklasifikasikan seperti berikut:

1. Keyakinan dalaman

Gaya atau stail adalah tentang keyakinan dalaman.

Walau anda berumur 50 tahun sekalipun, tetapi jika berani menggayakan skirt mini, tiada siapa yang boleh menghalangnya, cuma bersedialah untuk melihat ramai orang menoleh serta memandang sinis kepada anda.

Kini terdapat pelbagai pilihan menarik dan bergaya di pasaran untuk semua peminat fesyen pelbagai usia.

Pakailah apa yang paling selesa dan kita gemari dan jangan terlalu memikirkan hal-hal remeh yang boleh menghalang kita daripada menikmati fesyen. Pelajari untuk dapatkan gaya pakaian yang terbaik bagi personaliti anda. Pakaian yang sesuai dan tepat dapat serlahkan keanggunan dan keperibadian.

2. Fesyen tanpa had

Bagi wanita berusia 20-an, anda beruntung kerana inilah masanya untuk anda berfesyen tanpa had dan sempadan, selagi ia sesuai dengan latar belakang dan budaya anda berada.

Segalanya adalah tentang gaya individu yang unik dan tersendiri.

Pada waktu muda ini, anda juga bebas bereksperimentasi dengan rekaan, warna, corak, suai padan dan aksesori.

Sama ada untuk siang atau malam, pilih dan gayakan rekaan gaun yang punyai ciri-ciri kewanitaan, ceria dan penuh warna.

Jika gaun anda sedikit terbuka di bahagian atas, pastikan labuh kain adalah lebih panjang.

3. Variasi pilihan

Padankan jean dengan rekaan baju yang unik. Sememangnya pelbagai variasi pilihan terdapat di pasaran.

Antara yang menarik ialah rekaan yang banyak ropol atau anda boleh berikan tumpuan pada garis leher. Apapun rekaan yang anda pilih, pastikan ia menarik dan menyerlahkan gaya anda.

Apabila memilih skirt, fikirkan rekaan yang manis dan tidak keterlaluan. Wanita sememangnya menawan apabila menggayakan trend rekaan skirt dengan teknik lipatan, ropol, potongan garis-A, kembang dan lurus.


BERGAYALAH bagi diri sendiri, bukan bagi orang lain.

4. Rekaan serupa

Bereksperimentasilah dengan jaket dan kot. Padankan blazer dengan gaun kembang, jaket kulit potongan bomber dengan blaus floral atau kot potongan princess dipadankan dengan jean skinny dan tank.

Untuk ke pejabat pula, adalah tidak salah jika anda gemar memakai pakaian dalam rekaan yang serupa, contohnya baju kurung atau kebaya, jaket dan skirt dalam rona warna yang seakan sama atau senada.

Apapun, pastikan anda memakai rekaan tersebut dalam variasi tekstur serta reka corak yang berlainan dalam jangka masa seminggu anda bekerja. Sememangnya individu yang berpengaruh miliki gaya individu yang unik dan tersendiri (signature looks).

5. Cari identiti sendiri

Paling penting, jangan cuba untuk berpakaian seperti selebriti atau bintang filem, kerana sedarilah bahawa sebahagian besar kita bukanlah pelakon.

Jangan fikir apa yang hebat digayakan oleh Jennifer Lopez atau Erra Fazira akan kelihatan hebat juga apabila digayakan oleh anda (kerana ia mungkin akan sebaliknya).

Sememangnya anda boleh bereksperimen dengan trend, contohnya bertopi tetapi jangan kerana mahu meniru gaya selebriti tertentu. Cuba cari identiti sendiri.

Untuk bergaya stylish, apabila anda menggayakan sesuatu pakaian berserta padanannya sekali, pastikan anda melihat ia secara keseluruhan.

Jaket, gaun, skirt, seluar dan kasut anda mungkin berkualiti dan daripada jenama hebat, tetapi paling penting adakah ia sesuai dipadankan di antara satu sama lain?

6. Jadi diri sendiri

Setiap orang boleh bergaya hebat, tetapi perlu diingat, yang paling penting adalah untuk kita bergaya bagi diri sendiri bukannya orang lain.

Gaya adalah sesuatu yang peribadi. Tiada siapa yang sepatutnya memberitahu anda bagaimana untuk berpakaian.

Jika anda rasa cukup yakin untuk menggayakan sesuatu rekaan, teruskan niat anda dan bereksperimenlah dengan fesyen.

Sememangnya setiap kita mempunyai gaya individu yang tersendiri, tetapi kadangkala kita perlu untuk membuat sedikit perubahan pada gaya kita untuk kelihatan lebih menarik.

Itulah yang hebatnya tentang fesyen, terdapat terlalu banyak pilihan, selagi kita bijak memilih.
————————————————————————————————————————-
FAIZAL HAMID ialah Pensyarah Kanan Jabatan Fesyen, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN