PASIR MAS – Seorang mekanik maut diseret sebuah kereta selepas terjatuh daripada motosikal yang ditunggangnya dalam kejadian di hadapan sebuah stesen minyak di Tendong di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 2 pagi itu, mangsa, Muhammad Yazid Zakaria, 33, maut di lokasi selepas mengalami kecederaan parah pada beberapa bahagian anggota badan.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, siasatan awal mendapati, seorang lelaki berusia 45 tahun sedang memandu kereta jenis Perodua Myvi dari arah Wakaf Bharu menghala ke Pasir Mas.
Menurutnya, pada masa yang sama, mangsa yang menunggang sebuah motosikal dipercayai terjatuh sebelum memasuki laluan bertentangan.
“Ekoran jarak yang terlalu dekat, pemandu kereta itu tidak dapat mengelak sebelum menyeret mangsa.
“Insiden itu menyebabkan mangsa disahkan meninggal dunia ditempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Mohd. Nasaruddin, mayat mangsa dihantar ke Hospital Pasir Mas di sini proses bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE