fbpx

Indah Ruhaila harap magis single All My Heart

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
INDAH RUHAILA

HAMPIR setahun tidak muncul dengan lagu baharu, penyanyi Indah Ruhaila akhirnya mampu menarik nafas lega apabila melancarkan single terbaharunya berjudul All My Heart.

Bagaikan satu langkah baharu, Indah pastinya mengharapkan buah tangan kali ini mampu diterima baik dengan meletakkan harapan besar terhadap naskhah hasil ciptaan Ajai dan lirik oleh STR4WBERICHA tersebut sekali gus mampu melekat di hati peminat.

Bahkan, Indah sendiri mengakui teruja menantikan maklum balas daripada peminat memandangkan ini merupakan kali pertama dia menyanyikan lagu balada hasil ciptaan komposer tersohor negara itu.

INDAH RUHAILA berharap kehadiran single baharunya boleh diterima baik peminat sama seperti lagu-lagunya sebelum ini.

“Memang saya teruja dan pada masa sama gementar untuk menantikan maklum balas daripada peminat. Selama ini orang mengenali saya dengan lagu-lagu bersifat ‘dark’, namun kali ini sedikit berbeza.

“Sebagai penyanyi, saya berharap karya baharu ini mampu memberikan sesuatu yang unik dan segar kepada peminat memandangkan sentuhan Ajai mudah untuk diterima walaupun kali pertama mendengarnya,” ujar Indah.

Tambah penyanyi yang juga bekas peserta program Akademi Fantasia musim ke-10 (AF10) itu lagi, All My Heart merupakan sebuah lagu yang sangat menarik perhatiannya saat kali pertama diberikan demo oleh Ajai beberapa bulan lalu.

Mengangkat kisah tentang sebuah pengharapan dalam perhubungan, All My Heart menggunakan tulisan lirik indah bagi menceritakan perihal usaha yang perlu dibuat untuk mengukuhkan sesebuah ikatan.

“Saya masih ingat lagi kali pertama bertemu dengan Ajai, dia ada memberikan dua pilihan lagu tetapi saya lebih tertarik dengan lagu ini.

“Sebuah lagi lagu yang diberikan juga tidak kurang hebatnya. Mungkin melodi lagu ini yang mudah didengar dan liriknya lebih senang untuk difahami membuatkan saya terus bersetuju.

“Alhamdulillah proses rakaman lagu berjalan lancar dan saya gembira dapat bekerjasama dengannya,” kata Indah.

Tambahnya lagi, Ajai banyak memberikan tunjuk ajar dan pelbagai ilmu baharu kepadanya sepanjang proses rakaman dan sedikit sebanyak memberi kelegaan kepadanya.

Sepanjang proses merakamkan lagu berkenaan, penyanyi itu banyak berkongsi idea baharu bagi menambah warna pada karya tersebut yang sememangnya sudah cukup indah supaya lebih sesuai dengan dirinya.

SETAHUN menyepi, Indah Ruhaila kembali memeriahkan industri muzik dengan pelancaran single All My Heart ciptaan Ajai.

“Besar harapan saya untuk lagu ini terus mendapat tempat dalam kalangan peminat, seperti lagu-lagu terdahulu.

“Harap peminat suka dan terus memberikan sokongan kepada saya sampai bila-bila,” katanya.

Lagu All My Heart sudah dilancarkan secara rasmi pada 12 Ogos lalu. Video muzik lagu berkenaan boleh ditonton melalui saluran YouTube Indigital Music.

All My Heart merupakan sebuah lagu yang diterbitkan oleh Inisiatif Seni Kreatif (ISK) dan diedarkan oleh Indigital Music.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI