fbpx

Inisiatif kerajaan mula memberi impak – Mustapa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mustapa ketika berucap pada Majlis Simposium Keluarga Malaysia ‘Pencapaian dan Harapan’ di PICC, Putrajaya, hari ini. - Foto FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Pertumbuhan ekonomi negara dijangka berterusan bagi separuh kedua tahun ini di sokong permintaan domestik lebih kukuh dan impak susulan pelbagai inisiatif diambil kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kementerian dan agensi ekonomi utama kini bertungkus-lumus untuk merangka dasar serta strategi ekonomi dan kewangan bagi menangani cabaran ekonomi masa kini.

Beliau berkata, pemulihan ekonomi kini juga banyak disokong dasar dilaksanakan kerajaan seperti mewujudkan peluang pekerjaan bawah Majlis Pekerjaan Negara dan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

“Pemulihan ekonomi negara yang sedang berlaku ini dapat dilihat menerusi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang merekodkan pertumbuhan 6.9 peratus pada separuh pertama tahun ini,” katanya ketika berucap pada Simposium Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Katanya, impak pemulihan ekonomi turut dilihat menerusi kewujudan 69,517 pekerjaan baharu dan 211,711 penempatan pekerjaan yang direkodkan setakat 30 Jun lalu.

Mustapa berkata, pencapaian itu diraih menerusi pelaksanaan Insentif Penggajian Jamin Kerja dan Program Latihan dan Peningkatan Kemahiran.

Dalam pada itu, Mustapa berkata, kadar inflasi di Malaysia masih berada pada tahap rendah iaitu sekitar 3.4 peratus berbanding negara lain.

“Pada 29 Jun lalu, kerajaan mewujudkan Pasukan Jihad Tangani Inflasi bagi menangani peningkatan kos sara hidup yang antara lain berperanan menyemak harga kawalan, meningkatkan peruntukan subsidi, mengukuhkan pemantauan dan penguatkuasaan serta penyelarasan komunikasi.

“Hasilnya, kenaikan harga barangan kini lebih terkawal dengan jaminan rantaian bekalan makanan dan penurunan harga bagi beberapa barangan makanan utama,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI