fbpx

Lelaki mengaku cederakan bekas kekasih guna pisau dipenjara, sebat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh diiringi anggota polis selepas mengaku bersalah mencederakan bekas kekasihnya sehingga parah menggunakan pisau, bulan lalu.

MELAKA – Tindakan kejam seorang lelaki mencederakan bekas kekasihnya sehingga parah menggunakan pisau berbalas apabila dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan enam bulan serta satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Hakiman Nariman Badruddin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Muhammad Syazwan Mohd. Nasir, 26, yang membuat pengakuan bersalah sebaik sahaja dua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didapati dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan parah terhadap bekas kekasihnya, Nurshafiqa Zulhainan, 23, menggunakan senjata pisau.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan hendaklah juga dikendakan denda atau sebat.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didapati dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan terhadap Siti Nur Hidayah Samdin, 25, iaitu rakan kepada bekas kekasihnya dengan menggunakan senjata sama.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Kedua-dua perbuatan itu dilakukan tertuduh kira-kira pukul 6.20 petang di Jalan Tun Sri Lanang dalam daerah Melaka Tengah pada 29 Julai lalu.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar hukumannya diringankan dengan alasan telah menyesali perbuatannya dan memohon maaf kepada mangsa serta keluarga wanita berkenaan.

Dia juga merayu agar kenderaan yang dirampas pihak berkuasa dikembalikan kepada keluarganya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Anis Najwa Nazari bagaimanapun memohon hukuman setimpal diberikan dengan mengambil kira kecederaan parah yang dialami mangsa.

Selepas mendengar hujah kedua pihak, mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman empat tahun penjara dan satu sebatan bagi pertuduhan pertama serta dua tahun dan enam bulan bagi pertuduhan kedua.

Beliau bagaimanapun memerintahkan hukuman itu berjalan serentak dari tarikh ditangkap iaitu 30 Julai dan mengarahkan kenderaan yang dirampas dipulangkan semula kepada keluarga tertuduh.

Kosmo! pada 30 Julai lalu melaporkan, polis memburu seorang lelaki selepas dipercayai menikam bekas kekasihnya menggunakan pisau dan mencederakan rakan mangsa di kaki lima di Jalan Tun Sri Lanang.

Dalam kejadian itu, mangsa yang berusia 23 tahun mengalami kecederaan parah di tangan dan dikejarkan ke zon merah Hospital Melaka, manakala rakannya 25 tahun cedera di telinga.

Hasil soal siasat pihak polis, suspek didakwa menyerang mangsa menggunakan pisau kerana berang wanita terbabit enggan keluar bersamanya selepas dua minggu menamatkan hubungan mereka. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI