fbpx

ILTIZAM jadi cahaya buat graduan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HIZWANI (tengah) bersama alumni program PDP yang telah membantu mereka membina kerjaya dan berjasa pada komuniti.

PETALING JAYA – ILTIZAM yang merupakan inisiatif di bawah Program Tanggungjawab Korporat (CSR) Ekuiti Nasional Bhd. (Ekuinas) telah menjadi cahaya buat graduan dan siswazah bumiputera yang mengalami kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan.

Selepas membantu kira-kira 600 graduan memperoleh pekerjaan sejak 2012, program itu kini membuka permohonan pengambilan bagi sesi Program Pembangunan Profesional (PDP) 2023 bermula 15 Ogos sehingga 30 September tahun ini.

Pengarah Hal Ehwal Pihak Berkepentingan Ekuinas, Hizwani Hassan berkata, program itu disasarkan kepada graduan bumiputera yang tiada pekerjaan selama enam bulan atau mempunyai pekerjaan tidak setaraf dengan tahap pengajian masing-masing.

Katanya, keutamaan diberikan kepada graduan bumiputera dari institusi pendidikan tempatan berusia di bawah 28 tahun daripada isi rumah B40, dengan pendapatan bulanan kasar isi rumah di bawah RM5,000 sebulan.

“Program PDP ini bertujuan untuk membantu graduan bumiputera bukan sekadar mendapat pekerjaan bahkan membina kerjaya cemerlang dan menjadi contoh, pemimpin kepada komuniti serta rakan sebaya mereka.

“Kita juga memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran insaniah, komunikasi dan kepimpinan yang merupakan kemahiran utama diperlukan untuk Pelatih Eksekutif kami meningkatkan kebolehpasaran mereka dalam alam pekerjaan yang mencabar masa kini,” katanya.

Selain itu, Hizwani mendedahkan sebanyak 95 peratus daripada 75 orang Pelatih Eksekutif telah berjaya mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat program ILTIZAM PDP pada sesi 2021 lalu.

“Selepas tamat program, pelatih-pelatih ini juga berpeluang diserap masuk untuk bekerja di Ekuinas serta syarikat rakan kongsi, malah ada juga yang mendapat pekerjaan di syarikat tempatan dan syarikat global terkemuka,” ujarnya.

Noor Irwan Ibrahim

Sementara itu, salah seorang alumni program ILTIZAM, Noor Irwan Ibrahim, 29, berkata, beliau berjaya mendapatkan pekerjaan sebagai Eksekutif Strategi dan Kewangan Korporat di sebuah syarikat terkemuka selepas menyertai program berkenaan.

“Saya telah menghantar kira-kira 40 permohonan pekerjaan dan menghadiri lapan temu duga sepanjang tahun 2020. Saya menghadapi kesukaran untuk mendapat panggilan temu duga termasuk tawaran pekerjaan,” ujarnya.

Jelasnya, program ILTIZAM membantu beliau mempelajari cara yang betul dan berkesan untuk memohon pekerjaan dan menghadiri temu duga selain menetapkan halatuju kerjaya serta pengurusan masa yang efisien.

Tajhnoor Sueriani

Dalam pada itu, Tajhnoor Sueriani Tajul Azahar, 28, telah menghantar sebanyak 182 permohonan pekerjaan sebelum berjaya memulakan kerjaya sebagai Pegawai Tajaan di University of Nottingham Malaysia bermula Jun 2021 sehingga kini.

“Program ILTIZAM telah membuka minda dan mengubah prespektif saya berhubung dunia profesional.

“Saya lebih berani untuk keluar daripada zon selasa dan memberi peluang mencuba perkara-perkara yang mencabar seperti memperkenalkan diri di khalayak ramai dengan lebih yakin,” katanya.

Beliau juga kini mampu berkomunikasi, menyampaikan maklumat dan idea secara jelas serta menarik terutama menggunakan Bahasa Inggeris sebagai medium utama selepas menyertai program berkenaan.

Untuk maklumat lanjut, log masuk ke www.ekuinas.com.my/iltizam.

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI