fbpx

Bayi lelaki maut sesak nafas di rumah pengasuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

AMPANG – Seorang bayi lelaki berusia empat bulan maut kerana mengalami sesak nafas selepas didakwa tertekup lampin ketika dalam buaian di rumah pengasuh sekitar Jalan Cempaka, di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian dipercayai berlaku pada pukul 6.30 petang ketika bayi lelaki itu ditinggalkan di bawah jagaan pengasuh wanita warga Indonesia berkenaan.

“Siasatan mendapati mangsa telah dibawa ke Hospital Ampang dalam keadaan tidak bernyawa.

“Bantuan kecemasan diberikan tetapi pesakit menunjukkan tanda-tanda kematian yang sudah lama sebelum disahkan mati pada pukul 6.35 petang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan itu, polis telah menahan seorang wanita warga Indonesia berusia 26 tahun yang merupakan pengasuh bayi terbabit.

Menurut Farouk, hasil semakan mendapati suspek memaklumkan mangsa dalam keadaan sesak nafas kerana kain lampin di dalam buaian berada di muka mangsa.

“Punca kematian masih dalam siasatan manakala proses bedah siasat akan dilakukan pagi ini di Hospital Ampang.

“Suspek telah ditahan reman selama lima hari bermula hari ini di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang merujuk kepada penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI