fbpx
Rosediani (tiga dari kiri) dan Shaharum (empat dari kanan) selepas Majlis Perasmian Kongres Persekutuan Asia-Oceania Bagi Seksologi di Kampus Kesihatan USM, Kubang Kerian dekat Kota Bharu hari ini. - FOTO: KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN

30 peratus wanita Malaysia berisiko mati putik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU – Kira-kira 30 peratus wanita yang sudah berkahwin di Malaysia ketika ini berisiko mengalami mati putik atau nama saintifiknya disfungsi seksual sekali gus mengganggu hubungan rumah tangga dengan suami.

Pensyarah Perubatan, Jabatan Perubatan Keluarga, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr. Rosediani Muhamad berkata, berdasarkan kajian, wanita berusia 20 hingga 50 tahun merupakan antara individu yang terdedah kepada mati putik.

Menurutnya, kesan utama akibat disfungsi seksual akan menyebabkan wanita itu tiada nafsu sehingga tidak terangsang terutamanya untuk bersama dengan suami.

“Terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan masalah mati putik antaranya stres sehingga menjadi letih, masalah kesihatan, penyakit, faktor persekitaran dan keretakan hubungan dengan suami.

“Selain itu, kebanyakan daripada wanita sebenarnya tidak menyedari mereka mengalami masalah tersebut. Apabila tiada keinginan untuk bersama suami, mereka mengganggap ia satu perkara biasa.

“Masyarakat kita juga mudah reda dengan sesuatu perkara. Jadi, apabila berlaku tiada keinginan seks bersama suami, kebanyakan wanita tidak mahu mencari penyelesaian, sebaliknya terus reda,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Kongres Persekutuan Asia-Oceania Bagi Seksologi di Kampus Kesihatan USM, Kubang Kerian di sini hari ini.

Mengulas lanjut, menurut Rosediani, mengikut kajian secara kualitatif, wanita yang mengalami masalah mati putik tidak faham dengan situasi yang dialami mereka terutamanya apabila melangkah ke alam perkahwinan.

“Pendedahan awal mengenai masalah atau pendekatan mengenai seksual masih kurang dalam masyarakat kita. Kebanyakan wanita terbawa-bawa perasaan tidak mahu dengan hubungan seks meskipun telah berkahwin.

“Suami juga mempengaruhi isteri mengalami mati putik. Berdasarkan kajian, suami yang mempunyai masalah tingkah laku tidak disenangi isteri boleh mempengaruhi masalah disfungsi seksual kepada wanita,” katanya.

Menurut Rosediani, sehubungan itu, wanita yang mempunyai simptom mati putik tidak perlu malu dengan masalah tersebut sebaliknya berjumpa dengan pakar-pakar yang boleh membantu.

Katanya, bagi penduduk di Kelantan, Klinik Rawatan Keluarga, USM sentiasa terbuka luas untuk membantu suami dan isteri dalam merawat masalah tersebut.

“Klinik itu dibuka pada hari rabu untuk pesakit lelaki manakala wanita pada hari khamis. Ia merupakan satu usaha USM dalam memberi bantuan kepada golongan yang menghadapi masalah seksual.

“Selain itu, Universiti Kebangsaan Malaysia di Bangi dan Hospital Kuala Lumpur juga ada menawarkan perkhidmatan sama,” katanya. – KOSMO! ONLINE

POPULAR