fbpx
FAIZ meneruskan rentak cemerlang di AUG sebelum ini apabila turut meraih emas pada saingan di SUKIPT 2022 hari ini.

Faiz puas raih emas di dua temasya berbeza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMAIN perseorangan badminton, Faiz Rozain yang meraih emas di Sukan Universiti Asean (AUG) mengekalkan rentak cemerlang sejurus muncul juara di Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2022 hari ini.

Penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tersebut berjaya menewaskan pemain pilihan utama kejohanan dari Multimedia University (MMU), Tai Chuan Zhe di pentas final dengan mata 21-18, 19-21, 21-9.

Perlawanan yang berlangsung di Gimnasium, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu menyaksikan Faiz dipaksa bermandi peluh sehingga ke set penentuan sebelum berjaya mengesahkan kejuaraannya.

Atlet berusia 24 tahun itu mengakui kecederaan yang dialami oleh Chuan Zhe sedikit sebanyak memberi kelebihan untuk memastikan pingat emas pada penampilan terakhir di SUKIPT 2022 itu menjadi miliknya.

“Perlawanan tadi agak sengit, cuma set ketiga tu saya lihat dia (Chuan Zhe) sedikit penat jadi saya ambil kesempatan untuk bangkit pada set ketiga.

“Hari ini (semalam) dia bermain agak bagus dan ini adalah kali kedua saya bertemu dengan dia. Jadi, saya tahu cara dia bermain dan dia juga strategi permainan saya.

“Boleh dikatakan hari ini bukanlah permainan saya yang terbaik. Tapi, saya tetap cuba yang terbaik juga dalam perlawanan akhir tadi,” katanya sejurus tamat perlawanan.

Sementara itu, atlet badminton perseorangan wanita dari Universiti Sains Malaysia (USM), Lim Jing Ning mengesahkan kejuaraannya selepas menundukkan lawan dari Universiti Malaya (UM), Erica Hoh Ji Ling, 21-9, 23-25, 21-14.

Lim yang terpaksa bergelut dengan kecederaan dilihat mampu untuk terus mempamerkan aksi cemerlang dan memberi saingan hebat kepada lawan sebelum meraih kemenangan dalam temasya SUKIPT kali ini.

“Saya tak sangka boleh menang sebab bermain dalam kecederaan. Tapi, saya tak cepat putus asa, saya akan bermain sampai saya boleh. 

“Saya turun dengan semangat kesukanan saya, jadi saya perlu cuba sampai betul-betul dan kalau saya tak mampu baru saya berhenti berlawan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

POPULAR