PETALING JAYA – Pengguna muda yang suka membeli-belah menggunakan platform dalam talian merupakan golongan paling mudah terperangkap dalam kancah hutang dengan wujudnya kaedah Beli Dahulu Bayar Kemudian (BNPL).
Presiden Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM), Rosland Mohd. Arif berkata, ketika ini terlalu banyak aplikasi yang menawarkan perkhidmatan bayaran ansuran sehingga mendorong orang ramai untuk berhutang.
“Mungkin sistem ini membantu bagi sesetengah pihak yang sangat memerlukan, namun mereka yang kurang literasi kewangan pasti akan menjadi satu bebanan.
“Bayaran secara ansuran yang tiada kawalan ini sangat bahaya, pengguna boleh menukarkan perkhidmatan apabila pinjaman sudah mencapai tahap tertinggi pinjaman dibenarkan.
“Bayangkan apabila ada pengguna yang menggunakan 16 aplikasi pinjaman secara serentak, ia sangat menakutkan,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Rosland berkata, tiada larangan menggunakan perkhidmatan pinjaman itu, namun hanya untuk barangan keperluan.
“Pengguna perlu menggunakan segala kemudahan yang baharu seperti BNPL secara berhemah, berbelanja mengikut kemampuan dan tahu kos bulanan yang mampu dibayar.
“Pengurusan kewangan penting, walaupun jumlahnya kecil, namun akan berganda sekiranya lewat buat bayaran, jangan berhutang sekiranya tidak mampu untuk membayarnya,” ujarnya.
Berita berkaitan: BNPL jadi talian hayat pengguna terdesak wang
Sementara itu, Pensyarah kanan Putra Business School, Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, perlu ada satu kawal selia yang berkesan terhadap kemungkinan yang boleh menjerumuskan seseorang dalam kancah hutang.
“BNPL masih lagi belum diselia oleh mana-mana akta, menyebabkan perlindungan ke atas pengguna agak kurang. Sebagai pembeli yang tidak arif dalam perjanjian pembelian, mereka mungkin terpaksa membayar bayaran yang tinggi terutama ketika pembayaran lewat.
“BNPL yang tidak berada bawah Akta Kredit Pengguna (CCA) menyebabkan mereka boleh mengenakan pelbagai syarat yang tidak memberi kelebihan kepada para peminjam sekaligus menguntungkan satu pihak sahaja,” katanya.
Tambah Ahmed Razman, cadangan kepada kerajaan agar segera membentangkan CCA di Parlimen adalah penting, diikuti dengan mengadakan sebuah program pengurusan kewangan yang berimpak tinggi kepada para pengguna.
“Muflis adalah tindakan mahkamah oleh pemiutang yang melibatkan jumlah hutang melebihi RM100,000, BNPL ini kurang daripada jumlah itu, namun kesannya akan mengganggu perbelanjaan yang lain dengan dikenakan cas apabila lambat bayar,” tambahnya.
















