fbpx
WENDY (kiri) berjaya meraih pingat perak bersama Nur Dhabitah pada temasya Sukan Komanwel 2022 di Birmingham baru-baru ini. – AFP

Wendy Ng beri bayangan bersara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ATLET terjun berpengalaman negara, Wendy Ng seolah-olah memberi bayangan untuk bersara apabila mengakui mahu berehat panjang selepas menamatkan saingan pada temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022 baru-baru ini.

Wendy yang memenangi pi­ngat perak dalam acara 3 meter (m) papan anjal seirama wanita bergandingan dengan Nur Dha­bitah Sabri menjelaskan, dia tidak memiliki perancangan spe­sifik selepas ini.

Sebaliknya, dia berulang kali memberitahu hanya mahu berehat panjang dan memberikan fokus terhadap perkara lain sebelum membuat sebarang keputusan mengenai perancangan masa depannya.

“Aksi di Birmingham sebelum ini merupakan penampilan ter­akhir saya dalam temasya Sukan Komanwel. Sudah tentu saya gembira kerana dapat membawa pulang pingat pada penampilan terakhir.

“Buat masa ini saya masih belum ada sebarang perancangan.

“Saya hanya mahu berehat dan pulihkan keadaan badan terlebih dahulu kerana semua orang tahu apa yang berlaku ketika Sukan Olimpik Tokyo, jadi saya hanya­ mahu berehat panjang,” kata atlet berusia 29 tahun itu.

Sebelum ini, Wendy ­me-­ ­­ng­alami kecederaan bahu ketika beraksi di Tokyo dan kea­daan itu menyebabkan dia sukar menampilkan terjunan terbaik­nya pada temasya sukan terbesar dunia tersebut.

Wendy yang merupakan atlet paling senior dalam pasukan bersama ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong tidak menafikan mengenai kemungkinan untuk bersara, namun dia menjelaskan, ia masih belum diputuskan.

“Saya sangat bersyukur dengan keputusan yang diraih pada Sukan Komanwel, namun saya tidak fikir mengenai penampilan sama ada di Sukan SEA Kemboja atau Sukan Asia Hangzhou tahun depan.

“Buat masa ini, saya hanya mahu beri tumpuan semula kepada pelajaran di peringkat sarjana, selain mempelajari sesuatu baharu selain terjun,” ujar atlet kelahiran Kuala Lumpur itu.

POPULAR