PETALING JAYA – Segmen melancong menaiki kapal persiaran kembali aktif di seluruh dunia termasuk di pasaran Asia, yang mana peluang tersebut digunakan sepenuhnya oleh Royal Caribbean International (Royal Caribbean) untuk menguasai kembali pasaran yang ‘beku’ sepanjang pandemik dua tahun lalu.
Kapal terbesar di Asia dan berinovatif, Spectrum Of The Seas milik syarikat yang belayar dari Singapura itu telah memulakan operasi sejak dua bulan lalu dengan tawaran beberapa pakej percutian menarik untuk pelayaran tiga malam atau empat malam melibatkan laluan destinasi ke Pelabuhan Klang dan juga Pulau Pinang.
Sebaik siap dibina di Jerman, kapal bernilai kira-kira AS$1.25 bilion (RM5.57 bilion) itu belayar terus ke Asia untuk memulakan pelayarannya pada tahun 2019.
Naib Presiden dan Pengarah Urusan Royal Caribbean International Asia Pacific, Angie Stephen berkata, pihaknya optimis terhadap segmen melancong menggunakan kapal persiaran menunjukkan tanda pertumbuhan yang baik dan telah mendapat sambutan menggalakkan daripada pelancong pelbagai negara termasuk Malaysia.

Beliau yang memiliki pengalaman lebih 24 tahun dalam Kumpulan itu memaklumkan, percutian menaiki kapal persiaran semakin diminati ramai kerana ia lebih mudah, selesa dan selamat.
“Oktober ini, kami akan menawarkan pakej pelayaran ke Thailand. Pada Januari tahun depan, kami akan lancarkan pakej pelayaran lebih panjang dan menarik ke Vietnam,” katanya ketika ditemui pada majlis sambutan kapal persiaran di Pelabuhan Klang baru-baru ini.
KOSMO!: Apakah perkembangan terbaharu Royal Caribbean dan juga program pelayaran kapal persiaran Spectrum Of The Seas?
Angie: Kami telah mula belayar sejak dua bulan lalu dan sangat teruja dapat kembali beroperasi dan gembira dengan sambutan yang diterima.
Pelayaran kali ini mengikut destinasi yang dijadualkan berbanding sebelum ini, ia berkonsepkan no where dan kami melihat permintaan tempahan semakin bertambah.
Sebagai contoh untuk pelayaran pakej empat malam, kami membawa 3,000 penumpang dan kapal ini boleh memuatkan sehingga 5,000 orang.
Siapa yang belayar menggunakan kapal persiaran ini?
Pelanggan kami datang dari pelbagai negara. Jika sebelum ini, pelanggan kami 100 peratus dari Singapura, tetapi apabila sempadan negara telah mula dibuka dan banyak garis panduan (melancong) dilonggarkan termasuk juga banyak syarikat penerbangan banyak beroperasi, maka kami lihat semakin ramai pelanggan antarabangsa membuat tempahan. Mereka dari pasaran serantau, Australia dan juga Amerika Syarikat.

Apakah perancangan syarikat pada tahun ini dan juga pada masa depan?
Kami gembira kerana perniagaan ini kembali aktif dan kapal ini dijangka melakukan 50 pelayaran ke destinasi yang dijadualkan pada tahun ini. Kami menjangkakan pertumbuhan sehingga 100 peratus seperti mana direkodkan setiap tahun sebelum ini sebelum pandemik melanda.
Pelanggan kami kebanyakannya terdiri daripada keluarga yang membawa datuk nenek, ibu dan ayah serta anak-anak mereka serta daripada golongan muda berkerjaya.
Memandangkan garis panduan had kepenuhan penumpang sebanyak 75 peratus dilonggarkan, jadi kami berada pada kedudukan yang untuk mencapai sasaran pertumbuhan hingga 100 peratus.
Apakah pakej percutian yang menjadi pilihan penumpang?
Kapal ini sesuai untuk semua, melihat kepada saiz kapal yang besar, ia dapat memenuhi pelbagai pilihan pelanggan.
Sebenarnya agak sukar untuk mana-mana pihak memenuhi keperluan sebuah keluarga yang terdiri daripada datuk, nenek hingga kepada anak kecil, tetapi di kapal kami, ia dapat dilaksanakan dan dipenuhi dengan baik, malah kami akan memberi pengalaman percutian menarik buat mereka.
Terdapat juga pelbagai pilihan aktiviti riadah yang mencabar dan ringan, bersukan, berhibur dan makan secara kasual atau fine dining.
Sehingga kini, kami terima tempahan yang baik semasa cuti perayaan dan hujung minggu.
Pakej popular kami adalah destinasi empat malam kerana penumpang akan berada di dua destinasi (Pelabuhan Klang dan Pulau Pinang) di hujung minggu.
Bagaimana dengan sambutan pelanggan dari Malaysia?
Malaysia adalah salah satu pasaran yang sedang membangun di rantau ini dan kami melihat permintaannya menggalakkan, selain termasuk pasaran Indonesia dan juga India.
Kami melihat penguasaan pasaran dari segmen pasaran ini kira-kira 15 peratus. Sebenarnya kami teruja dengan kunjungan rakyat Malaysia ke Singapura untuk menikmati pelayaran ini.
Saya melihat percutian menaiki kapal persiaran semakin diminati ramai kerana ia lebih mudah dan selamat.

Apa yang berlaku kepada kapal milik Royal Caribbean sepanjang tempoh pandemik?
Tiada siapa menyangka industri perkapalan tidak beroperasi, malah semua kapal di seluruh dunia tidak dapat belayar.
Kesemua 66 buah kapal kami juga berlabuh. Kapal hanya berada di luar pesisir dengan kawalan yang minimum.
Daripada seramai 1,400 kakitangan, hanya tinggal 88 orang untuk memastikan kapal berada dalam keadaan yang selamat dan baik. Kami berjaya menghadapi cabaran ini kerana memiliki kumpulan kepimpinan eksekutif yang hebat.
Sekarang kami sangat teruja dengan kesemua kapal kami sudah beroperasi dan ia akan menjadi lebih baik bermula dari sekarang.
Adakah syarikat menghadapi masalah kekurangan pekerja?
Sebenarnya masalah kekurangan pekerja adalah masalah global khususnya dalam industri hospitaliti.
Kami kini berada dalam keadaan yang terbaik kerana telah melaksanakan satu proses pengambilan pekerja secara besar-besaran di seluruh Asia.
Sekarang kami memiliki kira-kira 1,400 pekerja dengan disokong oleh ciri-ciri inovatif kapal persiaran serta menawarkan perkhidmatan pelanggan terbaik.
Ini menjadi satu faktor unik berbanding pesaing lain dalam industri ini.-KOSMO! ONLINE
















