fbpx

Aktiviti lasak sebati dalam diri gadis UiTM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MENDAKI gunung bukan sahaja membuatkan Nurul Haziqah tenang, bahkan menikmati keindahan alam.

MEMPUNYAI personaliti ceria dan lasak, graduan Ijazah Sarjana Muda Fotomedia Kreatif dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Selangor inin sering menghabiskan masa lapangnya dengan aktiviti mendaki gunung.

Pemilik nama Nurul Haziqah Borhanuddin ini berkata, sejak kecil lagi dia memang meminati sukan lasak dan begitu aktif dengan sukan olahraga.

Bagaimanapun minatnya itu terhenti selepas menyambung pengajian di UiTM.

Pun begitu, sekitar 2014, minatnya untuk aktiviti mendaki mula bercambah.

Bermula dengan mendaki bukit-bukit yang rendah seperti Bukit Broga di Semenyih dan Bukit Sapu Tangan (Shah Alam), gadis ini mula menerokai gunung lebih tinggi dan ia diteruskan sehingga ke hari ini.

Bahkan gadis yang berhasrat untuk menyambung pengajian ke peringkat Sarjana ini turut berjaya mendaki gunung tertinggi di Sarawak, Gunung Murud yang terletak di Limbang.

Katanya, Gunung Nuang di Hulu Langat merupakan gunung pertama yang saya daki pada 2016.


NURUL HAZIQAH mengabadikan kenangan ketika menjadi urus setia untuk Program Anak Ledang di UiTM.

“Biarpun kali pertama, saya mengalami kekejangan sehingga terpaksa diusung ketika turun.

“Namun kenangan pahit itu bukan jadi penghalang besar untuk meneruskan minat saya dalam aktiviti lasak tersebut.

“Saya suka mendaki kerana dari situlah, kita boleh mengetahui tentang kehidupan yang ada di dalam hutan.

“Paling menarik apabila berpeluang untuk menikmati keindahan flora dan fauna yang ada di sekeliling kita,” katanya.

Sebagai contoh ujarnya, mereka yang suka mendaki boleh melihat dan belajar tentang kegunaan pelbagai jenis pokok yang boleh dijadikan penawar dalam perubatan.

Berjaya mendaki lebih 10 gunung sejak 2014 di seluruh negara, kongsi gadis ini, setiap gunung yang diterokainya itu mempunyai jalur pendakian dan cabaran berbeza.

Di sebalik cabaran dan rintangan yang dilalui sepanjang pendakian, kata Nurul Haziqah, pemandangan sekeliling yang dinikmatinya itu membuat dirinya berasa tenang dan diumpamakan sebagai terapi minda semula jadi.

“Walaupun ada yang kata aktiviti mendaki memenatkan atau kotor, namun apabila kita bersatu dengan alam, akan merasakan ketenangan dan ia sukar untuk dijelaskan kepada orang lain.

“Banyak pengalaman yang dikutip hasil daripada pendakian kerana di situ jugalah saya belajar memasak di dalam hutan dengan bahan terhad.

GADIS ini pernah mendaki gunung tertinggi di Sarawak, Gunung Murud ketika pertama kali menjejakkan kaki di Bumi Kenyalang.

“Selain itu, saya turut mempelajari perkara-perkara yang perlu dilakukan sekiranya berlaku kemalangan dan apa yang perlu dilakukan apabila tersesat jalan,” ujarnya.

Meminati alam sekitar dan mahu bekerja sebagai jurufoto berteraskan alam semula jadi terutamanya berkaitan masyarakat Orang Asli, Nurul Haziqah menjadikan pengalaman yang dikutipnya sepanjang melakukan aktiviti lasak di dalam hutan sebagai panduan dan pengajaran utama.

Katanya, untuk memasuki dan berada hutan bukan sesuatu yang mudah kerana banyak perkara yang perlu dititikberatkan, terutamanya dari segi keselamatan, kesihatan dan pengetahuan berasaskan pengalaman sendiri.

Dalam pada itu, gadis ini sentiasa berhati-hati ketika melakukan aktiviti mendaki bagi mengelakkan kejadian tidak diingini daripada berlaku.

Mengambil contoh seorang pendaki meninggal di Gunung Jasar, Cameron Highland dan juga di Gunung Kinabalu baru-baru ini, dia berkata, sebelum melakukan pendakian, perlu sentiasa pastikan sama ada diri berada dalam keadaan bersedia atau tidak.

“Bagi saya, jika ingin melakukan sesuatu aktiviti lasak, kita haruslah bertanya dahulu pada diri sendiri adakah kita mampu dan sentiasa periksa kesihatan diri.

“Periksa juga keadaan tempat yang mahu dituju, adakah sesuai atau sebaliknya,” ujarnya.

Tidak pernah mengenal penat, sebaliknya Nurul Haziqah menikmati setiap cabaran dalam aktiviti lasak.

NURUL HAZIQAH bersama ibu bapanya sewaktu pameran tahun akhir pelajar Sarjana Muda Fotomedia Kreatif di Publika.

Katanya, dia dan rakan-rakan bakal menjalani ekspedisi berkayak sempena hari kemerdekaan sepanjang 210 kilometer selama enam hari dari Kem Intan Suraya, Sungai Siput hingga Bagan Datok, Perak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI