ISU graduan yang sukar mendapat pekerjaan selepas menyedari sijil pengajian yang diambil selama bertahun-tahun daripada kolej atau universiti rupa-rupanya tidak diiktiraf Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) bukanlah satu isu baharu.
Saban tahun, ada sahaja kita mendengar kisah graduan yang mengeluh apabila bukan sahaja kerugian masa dan tenaga, tetapi juga wang ringgit yang begitu banyak apabila sijil pengajian yang diterima tidak memberi apa-apa makna.
Sudahnya, graduan hanya terpaksa berputih mata perlu menerima hakikat bahawa nasi sudah menjadi bubur.
Bagi mendapatkan penjelasan lanjut berkenaan isu itu, wartawan Kosmo! Ahad, ZURAINI MOHD. KHALID menemu bual Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran di pejabatnya di Cyberjaya baru-baru ini.
KOSMO! AHAD: Banyak orang bertanya, kenapa pihak institusi pengajian tinggi (IPT) terutamanya swasta memperkenalkan kursus pengajian yang tidak diiktiraf Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). Tidakkah mereka perlu mengikut garis panduan ditetapkan sebelum berbuat demikian?
DR. MOHAMMAD SHATAR: Semua program yang ditawarkan oleh pihak institusi pengajian tinggi (IPT) seperti kolej dan swasta di negara ini perlu mendapatkan akreditasi bagi membolehkan sijil itu digunakan untuk tujuan mendapatkan pekerjaan dan sebagainya.
Namun, masih ada pihak-pihak yang bertindak menawarkan pengajian tanpa akreditasi kerana wujudnya permintaan.
Jika ada yang mahu membeli, maka ada pihak yang akan menawarkannya.
Sekiranya mereka mahu melakukan penipuan atau pun memperdaya para pelajar untuk mengambil kursus yang ditawarkan, biarpun tanpa adanya akreditasi daripada MQA, ia di luar kawalan kami.
Selaku sebuah badan yang memberikan akreditasi kepada sesebuah program pengajian, MQA akan terus mengingatkan orang ramai khususnya pelajar untuk sentiasa berhati-hati dalam memilih program pengajian ditawarkan.
Prosesnya cukup mudah, yang mana pelajar hanya perlu melayari laman web MQA untuk mendapatkan maklumat tentang senarai program yang mendapat akreditasi daripada kami.
Jika pihak terbabit masih mengeluarkan sijil atau diploma yang tidak menepati syarat MQA dan menyebabkan ramai pelajar berdepan akibatnya kerana apa yang mereka pelajari selama ini tidak laku di pasaran kerjaya, apa tindakan yang boleh dilakukan dan tidakkah setiap kursus baharu diperkenalkan perlu dimaklumkan kepada MQA?
Ramai yang bertanya kepada kami tentang apa tindakan MQA terhadap universiti atau kolej yang masih lagi menawarkan kursus yang tidak diiktiraf.
Dari segi undang-undang, kami tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan atau menghukum pihak-pihak terlibat.
Peranan MQA adalah untuk memberikan akreditasi. Peranan pihak kolej atau unversiti pula adalah untuk menawarkan program pengajian dengan mendapat akreditasi.
Namun, sekiranya mereka menawarkan program pengajian tanpa akreditasi daripada MQA, kami tidak boleh menghalangnya.
Oleh sebab itu, sebagai anggota masyarakat, adalah menjadi hak dan tanggungjawab kita untuk menyemak kursus yang ditawarkan dari mana-mana institusi pengajian tinggi ini di laman web MQA.
Mungkin pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) begitu ghairah untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi hingga sanggup menerima apa sahaja yang ‘disogokkan’ kepada mereka tanpa melihat sama ada ia diiktiraf atau tidak. Apa pandangan Datuk dalam hal ini?
Saya memahami keghairahan pelajar yang mahu menyambung pengajian dalam pelbagai bidang, lebih-lebih lagi apabila mereka menerima surat tawaran daripada pihak universiti atau pun kolej tertentu yang dihantar ke rumah.
Apatah lagi apabila syarat kemasukan yang ditawarkan itu cukup mudah seperti hanya memerlukan pelajar untuk mendapat keputusan dua kredit dalam SPM.
Namun, perlu diingat, setinggi mana pun keghairahan untuk menyambung pengajian, pastikan mereka menyemak dahulu sama ada program yang mahu diikuti itu tersenarai atau pun tidak di dalam laman web MQA.
Ini kerana, sijil itu berkemungkinan hanya akan menjadi sekeping sijil yang tidak memberi apa-apa makna.
Kita bukan lagi hidup di zaman dahulu, yang mana sesuatu maklumat mengambil masa sehingga berhari-hari lamanya untuk diperoleh.
Kini semua maklumat hanya di hujung jari dan pelajar perlu mengambil tanggungjawab dengan membuat semakan sendiri di laman web MQA.
Bagi mengatasi masalah kursus yang ditawarkan pihak universiti tidak diiktiraf, apa yang dilakukan pihak MQA dalam hal ini selama ini?
Seperti yang saya katakan tadi, kami tidak mempunyai kuasa untuk menghalang atau pun menyekat pihak-pihak sebegini dalam menawarkan program pengajian yang tidak mendapat akreditasi.
Bagi saya, sebagai seorang klien, kita tidak seharusnya meletakkan tanggungjawab sepenuhnya kepada pihak penjual.
Sebagai peniaga, sudah tentu mereka akan sentiasa menawarkan produk mereka untuk dibeli. Selaku pembeli, kita seharusnya membuat kajian adakah produk yang ingin dibeli itu berkualiti dan mampu menjamin masa depan kita.
Mungkin pelajar dan ibu bapa tidak sedar dan kurang mendapat makluman berhubung kursus yang nampak menarik untuk diambil, tetapi sebenarnya selepas graduasi, baru sedar diploma atau ijazah yang diperoleh tidak sah. Apa yang MQA lakukan dalam memberikan kesedaran kepada pihak terbabit dalam hal ini?
Kami banyak menjalin kerjasama dengan sekolah-sekolah dengan memberikan kesedaran kepada pelajar, guru dan ibu bapa tentang pentingnya menyelidik dahulu apa sahaja surat tawaran melanjutkan pelajaran.
Surat itu mungkin diterima pelajar sebelum menyambung pengajian ke peringkat seterusnya.
Ini bagi mengelakkan mereka terpedaya dengan pihak-pihak tidak bertanggungjawab di luar sana yang mungkin mencari peluang untuk memperdaya golongan pelajar.
Alternatifnya, pelajar itu sendiri boleh membuat semakan di laman web MQA berkenaan kursus yang ditawarkan.

PELAJAR lepasan SPM perlu menyemak kursus ditawarkan pihak universiti atau kolej bagi mengetahui ia mendapat akreditasi MQA atau tidak. – GAMBAR HIASAN
Apa kriteria minimum yang ditetapkan oleh MQA bagi setiap kursus ditawarkan IPT sama ada awam atau swasta di negara ini?
Setiap program yang dibangunkan oleh institusi pengajian tinggi sama ada awam atau swasta akan dinilai oleh MQA melalui tujuh aspek kualiti.
Ia berdasarkan Kod Amalan Akreditasi Program terdiri daripada reka bentuk dan penyampaian program, penilaian pelajar, pemilihan dan khidmat sokongan pelajar, staf akademik berkelayakan dalam kursus tersebut, sumber pendidikan, pengurusan program dan juga pemantauan serta penambahbaikan kualiti berterusan.
Hanya selepas sesuatu kursus itu memenuhi semua syarat penilaian ini, ia layak diberi akreditasi oleh MQA.
Adakah universiti luar negara juga perlu mengikut garis panduan yang ditetapkan MQA bagi membolehkan graduan yang kembali ke Malaysia diterima dalam pasaran kerjaya?
Ya dan MQA bekerjasama dengan badan-badan tertentu di negara-negara yang menawarkan pengajian di institusi pengajian tinggi bagi memastikan sijil yang diperoleh itu kelak laku dan diterima di pasaran kerja.
Sebagai contoh, baru-baru ini, saya ke Turkiye dan bekerjasama dengan badan akreditasi di sana iaitu Yükseköğretim Kurulu (YOK) atau Yükseköğretim Kalite Kurulu (YOKAK).
Sekiranya pelajar yang menuntut di mana-mana daripada 208 buah universiti di Turkiye dan mengikuti pengajian yang sudah diiktiraf dua badan tersebut, maka sijil mereka sah dan akan diterima MQA.
Pihak YOK dan YOKAK juga akan menerima sijil daripada pelajar Malaysia yang sudah mendapat akreditasi daripada MQA.
Bagi negara-negara besar seperti Amerika Syarikat misalnya, MQA bekerjasama dengan beberapa badan akreditasi zon seperti zon selatan atau zon utara bagi membolehkan sijil diperoleh pelajar dari sana sah dan diiktiraf MQA.
Apa yang boleh dilakukan pelajar yang terpedaya dengan sijil tidak iktiraf, memandangkan mereka sudah banyak menghabiskan wang, selain masa dan tenaga untuk mengambilnya. Adakah mereka perlu mengambil semula kursus yang seumpamanya?
Bagi pelajar yang mungkin sudah pun menamatkan pengajian dan memperoleh sijil yang tiada akreditasi, saya menasihatkan mereka supaya berbincang dengan pihak kolej.
Namun, perlu diingatkan, perkara tersebut tidak boleh dilakukan secara individu.
MQA kemudian akan memberikan beberapa kaedah kepada pihak kolej bagi mendapatkan akreditasi, bermula dengan akreditasi sementara sehinggalah akreditasi penuh.
Pihak kolej bertanggungjawab untuk memohon akreditasi menerusi beberapa kaedah. Perkara itu bagaimanapun cukup rumit dan akan mendatangkan banyak komplikasi.
Selain itu, ia juga akan mengambil masa yang panjang dan adakalanya sehingga bertahun-tahun lamanya.
Oleh sebab itu, perkara sebegini boleh dielakkan sekiranya pelajar dan ibu bapa mengambil peranan dan langkah berjaga-jaga sebelum menerima apa sahaja tawaran yang disogokkan kepada mereka.
Apa nasihat yang Datuk boleh berikan kepada mereka yang mahu melanjutkan pelajaran ke IPT bagi membolehkan mereka tidak mengalami tekanan emosi disebabkan gagal memperoleh kerja selepas tamat belajar nanti kerana mendapat sijil tidak sah?
Seperti yang saya sebutkan tadi, pelaburan yang dibuat untuk pendidikan ini merupakan satu pengorbanan besar.
Selepas menamatkan pengajian, sudah tentu kita mengharapkan akan mendapat satu imbuhan besar selepas kita berhabis masa, tenaga dan wang untuk pengajian, namun perkara sebaliknya pula berlaku.
Tidak mengejutkan sekiranya graduan atau individu itu mengalami tekanan emosi sehinggakan mereka menjadi gila dan sebagainya.
Oleh itu, bagi mengelak daripada berlakunya perkara-perkara begini, sebaik sahaja dapat surat tawaran, semak dahulu dengan kami.
Sekiranya mereka tidak tahu atau tidak faham tentang kursus ditawarkan, hubungi MQA dan kami akan berikan maklumat dan panduan.
Sekiranya pelajar berada di luar negara pula, mereka boleh menghantarkan e-mel dan kami akan membalasnya.
Daripada pihak universiti itu sendiri, apa yang perlu dilakukan mereka agar graduan yang keluar nanti tidak berasa ‘dianiaya’ dari segi kursus yang mereka ambil?
Pihak universiti seharusnya tidak mengambil kesempatan ke atas pelajar dengan menawarkan kursus yang tidak mendapat akreditasi daripada MQA.
Ada antara pihak yang mengelirukan pelajar dengan menggunakan perkataan kolaborasi dengan universiti-universiti terkemuka sama ada di dalam dan luar negara.
Perlu diingat bahawa kolaborasi dan akreditasi adalah dua perkara yang berbeza.

MENURUT Dr. Mohammad Shatar, pihak-pihak yang bertindak menawarkan kursus pengajian tanpa akreditasi kerana wujudnya permintaan.
Apa perancangan MQA pada masa depan dalam menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pihak-pihak terlibat dalam industri agar apa yang mereka kendalikan terus kekal relevan?
Saya yakin tiada sesiapa pun di negara ini yang mahu melabur kepada sesuatu yang tidak mendatangkan faedah, namun mungkin ia berlaku akibat kurangnya maklumat yang tepat dan sebagainya.
MQA ketika ini secara agresifnya sedang membantu masyarakat di negara ini untuk mendapatkan maklumat tepat berkenaan pengajian tinggi.
Oleh itu, kami menggunakan semua medium yang ada untuk menguar-uarkan beberapa perkara, antaranya apa itu akreditasi supaya orang ramai faham akan kepentingannya bagi mengelak mereka daripada membuat keputusan salah.
Selain itu, kami juga turut menguar-uarkan produk terkini yang berbeza dengan kaedah konvensional iaitu melanjutkan pelajaran menerusi peperiksaan besar seperti SPM atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia.
Sebaliknya melanjutkan pengajian menerusi kaedah pembelajaran sepanjang hayat yang mana orang ramai masih boleh menyambung pengajian mereka dengan menggunakan pengalaman bekerja.














