fbpx

England isytihar kemarau di lapan kawasan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Paras air rendah dirakam di Takungan Talybont, Wales di tengah-tengah gelombang haba yang berterusan. – Getty

LONDON – Lapan buah kawasan di Britain secara rasmi diisytiharkan mengalami kemarau akibat suhu tinggi dan taburan hujan yang rendah, lapor akhbar Mirror UK kelmarin. 

Antaranya termasuk De­von dan Cornwall, Solent dan South Downs, Kent, selatan London dan East Sussex, Herts dan utara London, East Anglia, Thames, Lincolnshire dan Northamptonshire serta East Midlands, demikian menurut Jabatan Alam Sekitar, Pertanian dan Urusan Luar Bandar.

Orang ramai dan premis perniagaan di kawasan terjejas digesa menggunakan air dengan cermat. 

“Semua syarikat pembekal air meyakinkan kami bahawa bekalan penting masih terjamin.

“Kami lebih bersedia berbanding sebelum ini untuk menghadapi kemarau tetapi akan terus memantau situasi dengan teliti termasuk impak kepada petani dan alam sekitar serta mengambil tindakan lanjut mengikut keperluan,” kata Menteri Air, Steve Double dalam satu kenyataan.

Suhu petang kelmarin mencecah 35 darjah Celsius di selatan Britain sekali gus lebih panas berbanding lokasi iklim tropika seperti Bahamas.

Pejabat Meteorologi mengeluarkan amaran cuaca panas melampau untuk sebahagian besar England dan Wales sehingga hari ini di samping amaran tentang kesan haba terhadap kesihatan orang awam.

Kumpulan Kemarau Kebangsaan Britain yang terdiri daripada pembuat keputusan daripada agensi kerajaan dan swasta yang diketuai oleh Menteri Air, Steve Double mengadakan pertemuan kelmarin untuk membincangkan tindak balas terhadap musim panas kali ini yang dianggap paling kering di Britain dalam tempoh lima tahun di samping usaha berterusan yang perlu dilaksanakan.

Kumpulan itu turut membincangkan pandangan semasa, risiko serta impak berkaitan kemarau. Mereka bersetuju untuk meneruskan kerjasama merentasi pelbagai sektor dalam mengimbangi keperluan air dan menjimatkan air. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI