fbpx
Tekong darat (kanan) dan enam orang PATI warga Myanmar yang ditahan di Gua Musang semalam. FOTO IHSAN POLIS

[VIDEO]Lari 30 kilometer bawa enam PATI warga Myanmar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG – Cubaan seorang tekong darat untuk membawa lari enam orang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar termasuk dua wanita menggunakan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) gagal apabila dia ditahan di bandar ini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi, suspek yang berusia 45 tahun dicekup selepas polis menahan MPV jenis Perodua Alza yang dipandunya ditahan berhampiran persimpangan lampu isyarat selepas dikejar sejauh 30 kilometer.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, sebelum kejadian itu, sepasukan anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang menjalankan pemeriksaan ‘snap check’ di Jalan Gua Musang-Kuala Lipis di Kampung Lepan Jaya di sini kira-kira pukul 9.30 pagi.

Menurutnya, anggota polis melihat MPV terbabit membuat pusingan U dalam keadaan mencurigakan sebelum pemandunya bertindak memecut kenderaan itu menghala ke bandar Gua Musang.

“Polis terus mengejar MPV tersebut yang memandu secara melulu dan berbahaya selain turut melanggar lampu isyarat. Suspek turut memandu dengan melawan arus di hadapan IPD Gua Musang semasa dikejar polis.

“Selepas 30 kilometer mengejar, MPV tersebut telah bergesel dengan kereta polis sebelum berhenti,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Choon Foo, semasa proses tangkapan dilakukan, berlaku pergelutan antara suspek dan anggota polis sehingga lelaki itu mengalami kecederaan pada beberapa bahagian anggota badan.

Katanya, pemeriksaan di dalam MPV itu telah membawa kepada penemuan seramai enam orang PATI warga Myanmar termasuk dua wanita berusia 17 hingga 26 tahun yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

“Kita percaya suspek merupakan seorang penyeludup PATI. Lelaki itu dipercayai mengambil kesemua PATI itu di sempadan negara di Rantau Panjang untuk dibawa ke Kuala Lumpur,” katanya. – KOSMO! ONLINE

POPULAR