fbpx

Tempoh pra-kelayakan projek LRT Bayan Lepas dilanjutkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zairil Khir Johari.

GEORGE TOWN – Kerajaan negeri Pulau Pinang bersetuju melanjutkan tempoh pra-kelayakan Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Bayan Lepas dari 24 Ogos hingga 7 Oktober depan bagi memberi banyak peluang kepada syarikat yang berminat mengemukakan maklumat berhubung pelaksanaan projek tersebut.

Pengerusi Infrastruktur dan Pengangkutan Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berkata, pada 20 Julai yang lalu, kerajaan negeri telah memulakan peringkat pra-kelayakan bagi pelaksanaan komponen LRT Bayan Lepas dan telah mendapat sambutan menggalakkan dari syarikat tempatan dan antarabangsa.

Menurutnya, sehingga 8 Ogos lalu, lebih 40 syarikat tempatan dan antarabangsa telah mendaftar, membeli dan memuat turun dokumen pra-kelayakan dari laman web Penang Infrastructure Corporation (PIC).

“Kerajaan negeri juga telah menerima permintaan daripada lebih 10 syarikat termasuk beberapa firma antarabangsa dari Eropah dan Asia yang berkepakaran dalam pembinaan landasan kereta api yang memohon agar tempoh pengemukaan dokumen pra-kelayakan dilanjutkan.

“Oleh itu, kerajaan Negeri Pulau Pinang bersetuju untuk melanjutkan tempoh pra-kelayakan dari 24 Ogos hingga 7 Oktober depan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Komponen LRT adalah salah satu komponen utama dalam Pelan Induk Pengangkutan (PIP) Pulau Pinang yang merupakan pendekatan kerajaan negeri bagi menangani masalah kesesakan lalu lintas di negeri ini.

Sasaran kerajaan negeri adalah untuk memulakan pembinaan jajaran LRT Bayan Lepas yang menyambungkan pusat bandar dan Bayan Lepas pada tahun depan.

Menurut Zairil, pelanjutan tempoh itu adalah untuk memberi syarikat-syarikat lebih masa untuk menyediakan dokumen yang diperlukan seperti surat sokongan daripada bank, dan membentuk usaha sama dengan syarikat tempatan.

“Syarikat-syarikat yang berminat dikehendaki mengemukakan dokumen pra-kelayakan mereka tidak lewat daripada pukul 12 tengah hari pada 7 Oktober,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI