fbpx
PERUBAHAN drastik yang dilakukan SMK Kampong Jawa, Klang dapat dilihat apabila pelajar sekolah itu mula menunjukkan peningkatan ketara dalam pencapaian akademik biarpun suatu ketika dahulu pernah menduduki tangga dua tercorot daripada 38 sekolah di daerah Klang.

SMK Kampung Jawa gah di persada dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampong Jawa di Klang, Selangor tersenarai sebagai calon bagi kategori ‘menangani cabaran’ dalam Anugerah Sekolah Terbaik Dunia yang pemenangnya hanya akan diketahui Oktober nanti.

Pengetua SMK Kampong Jawa, Aisah Jaman berkata, ia bermula ketika negara dilanda pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu.

Dengan kira-kira 75 peratus muridnya berasal daripada keluarga berpendapatan rendah, SMK Kampong Jawa pernah terpalit dengan pelbagai tanggapan negatif termasuklah dikaitkan dengan kemiskinan bandar, jumlah kehadiran murid yang rendah selain hilangnya kepercayaan masyarakat terhadap komuniti sekolah.

Namun kata beliau, berbekalkan misi untuk membawa perubahan, pada tahun 2020 pihak sekolah telah mengambil keputusan mengubah polisi sekolah agar selaras dengan pelaksanaan Program Sekolah Amanah yang bermula sejak 2017 di sekolah itu
————————————————————————————————————————————————————————–

PENULARAN pandemik Covid-19 sejak awal tahun 2019 bukan sahaja melumpuhkan sektor ekonomi dan sosial, tetapi turut merencatkan pendidikan negara.

Selain sesi persekolahan tergendala akibat penutupan sekolah, sesi pembelajaran juga berdepan kesukaran apabila kesemua guru dan murid perlu menjalani rutin norma baharu serta asing seperti pengenalan sistem pembelajaran dan pengajaran di rumah (PdPR).

Namun siapa sangka, di sebalik kepayahan berdepan situasi sukar itu, dua buah sekolah di negara ini telah berjaya dipilih dan disenarai pendek sebagai antara 10 calon teratas bagi Anugerah Sekolah Terbaik Dunia.

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampong Jawa di Klang, Selangor tersenarai sebagai calon bagi kategori Menangani Cabaran, manakala Sekolah Kebangsaan (SK) Kempadang, Kuantan, Pahang tercalon bagi kategori Inovasi.


SMK Kampong Jawa disenarai pendek bagi kategori Menangani Cabaran dalam Anugerah Sekolah Terbaik Dunia.

Kedua-duanya merupakan sekolah di bawah Program Sekolah Amanah yang dikendalikan dengan kerjasama Yayasan Hasanah, LeapEd Services Sdn. Bhd. iaitu anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional Berhad; sebuah organisasi kebajikan, Yayasan Amir, Kementerian Pendidikan Malaysia serta beberapa syarikat lain.

Pengumuman yang dibuat oleh T4 Education pada 9 Jun lalu mengenai pencalonan kedua-dua buah sekolah itu ternyata mengejutkan pelbagai pihak, sambil ramai yang merakamkan penghargaan terhadap pencapaian itu.

T4 Education adalah sebuah organisasi global yang komited untuk menyediakan alatan, inisiatif dan program menarik untuk guru meningkatkan kualiti pendidikan di seluruh dunia.

Pengetua SMK Kampong Jawa, Aisah Jaman ketika diminta mengulas mengenai apa yang telah dilaksanakan sehingga melayakkan sekolah berkenaan tersenarai sebagai calon bagi anugerah tersebut berkata, ia bermula ketika negara dilanda pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu.

“Sebenarnya, ia berakar daripada pendekatan ‘Mengupayakan Dalam Ketidakupayaan’ dan ‘Program Sentuhan Prihatin’ yang dirintis oleh bekas pengetua sekolah ini, Hisyamiddin Sirat.

“Kedua-dua pendekatan tersebut telah menjadi titik tolak kepada gerak kerja menyusun strategi untuk pihak sekolah mengatasi pelbagai cabaran sepanjang tempoh Covid-19.

“Ketika sesi persekolahan berdepan kesukaran, sekumpulan guru muda di sekolah kami telah mengambil langkah proaktif memimpin pasukan kakitangan dengan memperkenalkan aplikasi dalam talian.

“Kaedah tersebut ternyata berjaya memudahkan pembelajaran terutama sesi pembelajaran secara dalam talian melibatkan komuniti bagi berkongsi pengalaman, selain bagi membantu guru-guru untuk terus bersemangat menjalankan sesi pengajaran,” katanya.


GURU sekolah tersebut begitu berdedikasi dalam mendidik murid-murid.

Menurut Aisah lagi, lokasi sekolah itu yang terletak di tengah persekitaran mencabar telah menyebabkan sekolah itu pernah berada dalam kelompok tercorot dalam keputusan akademik berbanding sekolah lain di daerah Klang.

Pada tahun 2018, keputusan akademik sekolah yang dicatat adalah sangat rendah iaitu hanya 59 peratus murid sekolah itu memperoleh kelayakan tamat persekolahan mereka.

Malah jelasnya, dengan kira-kira 75 peratus muridnya berasal daripada keluarga berpendapatan rendah, SMK Kampong Jawa pernah terpalit dengan pelbagai tanggapan negatif termasuklah dikaitkan dengan kemiskinan bandar, jumlah kehadiran murid yang rendah selain hilangnya kepercayaan masyarakat terhadap komuniti sekolah.

Namun kata beliau, berbekalkan misi untuk membawa perubahan, pada tahun 2020 pihak sekolah telah mengambil keputusan mengubah polisi sekolah agar selaras dengan pelaksanaan Program Sekolah Amanah yang bermula sejak 2017 di sekolah itu.

“Kami memulakan pendekatan berasaskan data intensif untuk mengesan masalah kehadiran murid dengan menghubungi lebih 500 ibu bapa untuk mengetahui lebih lanjut tentang murid dan persekitaran rumah mereka.

“Malah, kaunselor dan guru juga akan turun padang membuat lawatan ke rumah bagi mengesan mereka yang masih tidak menghadiri kelas.


AISAH (dua dari kiri) bersama guru-guru SMK Kampong Jawa ketika melancarkan program penetapan target SPM 2022 yang dilancarkan di sekolah itu baru-baru ini.

“Selain itu, kami turut menggerakkan masyarakat setempat untuk membantu murid-murid yang memerlukan, selain turut berusaha mendapatkan peranti bagi menangani murid yang tidak boleh menyertai PdPR.

“Tidak sekadar itu, kami juga melaksanakan Program Jejak Ilmu iaitu guru-guru menyediakan bahan PdPR dan ibu bapa atau murid akan datang mengambil bahan pembelajaran secara pandu lalu di pondok pengawal sekolah, selain ada juga guru menyerahkannya kepada ibu bapa di beberapa lokasi seperti pasar raya atau terus dihantar ke rumah,” ujarnya.

Aisah berkata, walaupun dengan penutupan sekolah masih berterusan sehingga tahun 2021, sekolah itu tetap melaksanakan 33 sesi aktiviti kokurikulum selain melaksanakan sesi berinteraksi dengan masyarakat di sekeliling bagi mendapatkan sokongan.

Malah kata beliau, sepanjang dua tahun penularan wabak Covid-19, Pasukan Digital sekolah itu telah menggalas tanggungjawab yang besar dengan memberi latihan dan bimbingan secara pantas bagi membolehkan guru-guru menguasai kemahiran digital bagi tujuan pelaksanaan PdPR.

PARA pelajar sekolah ini melakukan aktiviti di dalam sebuah bilik darjah.

Selain itu, pendekatan dua hala juga telah dilaksanakan untuk meningkatkan kecekapan guru bagi memastikan keterlibatan pelajar dalam sesi PdPR.

“Sebagai guru, kami perlu wujudkan keinginan untuk menghadiri sekolah dalam kalangan murid-murid khususnya menerusi PdPR, di samping turut berperanan meningkatkan kebajikan pelajar dengan memastikan halangan untuk pembelajaran dihapuskan bagi membolehkan sesi pembelajaran dapat diteruskan,” katanya.

Akui Aisah, segala keputusan dan tindakan yang telah dilaksanakan bukanlah satu perkara mudah memandangkan pihak sekolah terpaksa berdepan dengan cabaran yang besar.

Antaranya ialah kekangan dari segi kewangan dan sosioekonomi, selain cabaran dari dalaman dan luaran yang belum pernah dihadapi sebelum ini.

“Sudah tentu kami mengharapkan dapat terus melangkah daripada calon 10 terbaik kepada tiga terbaik dan kemuncaknya menjuarai anugerah itu.

“Semoga dengan kejayaan ini akan melonjakkan transformasi SMK Kampong Jawa dalam banyak aspek terutama dari segi prestasi sekolah dan murid sendiri,” katanya.

Anugerah Sekolah Terbaik Dunia menawarkan hadiah keseluruhan wang tunai AS250,000 (RM1.1 juta). Pemenang bagi setiap kategori yang akan diumumkan pada Minggu Pendidikan Dunia pada 16 hingga 21 Oktober depan bakal menerima AS50,000 (RM222,800).


PERNAH terpalit dengan pelbagai tanggapan negatif, kini SMK Kampong Jawa dikagumi kerana transformasi hebat yang berjaya dilaksanakan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN