fbpx
Seorang wanita mengisi air di dalam botol yang dipegang oleh seorang kanak-kanak di Al-Fashir, Sudan pada 9 Februari 2017. – AFP

Perubahan iklim pengaruhi penyakit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON – Satu kajian mendapati bencana iklim seperti banjir, gelombang haba dan kemarau telah menyebabkan lebih separuh daripada  ratusan penyakit berjangkit termasuk demam malaria, hantavirus, kolera dan antraks menjadi lebih buruk, lapor akhbar New York Post kelmarin.

Kajian  yang diterbitkan dalam jurnal Nature Climate Change itu mengkaji bukti perubatan pelbagai penyakit. 

Ia mendapati  218 daripada 375 penyakit berjangkit yang diketahui manusia atau bersamaan 58 peratus, menjadi lebih buruk  disebabkan  oleh salah satu daripada 10 jenis cuaca ekstrem akibat  perubahan iklim.

Kajian itu turut memetakan 1,006 laluan bagaimana  bencana iklim boleh membawa penyakit kepada manusia. Dalam sesetengah kes, hujan lebat dan banjir mencetuskan penyakit pembawaan nyamuk, tikus dan rusa kepada manusia.

Selain itu,  lautan yang semakin panas dan gelombang haba mencemarkan sumber  laut dan  pelbagai makanan lain, manakala kemarau membawa kelawar yang  menyebarkan jangkitan virus kepada  manusia.

“Sekiranya iklim berubah, risiko dijangkiti penyakit berjangkit juga berubah,” kata pengarang bersama kajian, Dr. Jonathan Patz.

Menerusi kajian sama, pasukan penyelidik itu  turut mengkaji  semua jenis penyakit berkaitan manusia termasuk  penyakit  tidak berjangkit seperti asma, alahan dan gigitan haiwan untuk melihat bilangan penyakit yang mempunyai kaitan dengan perubahan iklim. 

Mereka menemui sebanyak  286 penyakit unik dan 223 daripadanya menjadi semakin teruk disebabkan bencana iklim.

Ketua pengarang kajian itu, Camilo Mora berkata, pasukannya turut menyiasat kes perubatan berkaitan Covid-19 bagi melihat bagaimana wabak itu mempunyai hubungan dengan bencana iklim.

Hasilnya, mereka  mendapati terdapat sejumlah  kes di mana cuaca ekstrem memburukkan dan dalam masa sama,  mengurangkan risiko dijangkiti Covid-19.

Contohnya dalam beberapa kes, gelombang haba di kawasan kejiranan miskin menyebabkan orang ramai berkumpul untuk menyejukkan badan yang menyebabkan mereka lebih  terdedah kepada jangkitan Covid-19.

Dalam situasi lain pula, hujan lebat mengurangkan penularan  Covid-19 kerana  orang ramai kekal di rumah.   – Agensi 

 

POPULAR