BERJAYA menamatkan larian sejauh 444 kilometer (km) bukanlah suatu yang mudah, namun itulah kejayaan bersejarah yang dilakar oleh Noor Ainun Yeop Kamaruddin.
Lebih dikenali sebagai Kak Tutu kerana sering berpenampilan legging dan skirt tutu (kostum lazim tarian klasik balet), dia memahat sejarah itu pada cabaran ultra ekstrem Coast to Coast yang bermula dari Lumut, Perak dan berakhir di Bachok, Kelantan pada Mei lalu.
Ainun, 44, menjadi wanita pertama Malaysia yang berjaya menamatkan larian untuk jarak sejauh itu dalam masa 114 jam 18 minit.
Cabaran Coast to Coast itu turut disertai peserta dari Jerman dan Thailand, malah dia menjadi satu-satunya wanita yang berjaya menamatkan perlumbaan tersebut sehingga garisan penamat.
Berikutan pencapaian yang dilakar, dia turut mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR).
“Saya bersyukur kerana berjaya menamatkan larian ini di bawah tempoh masa yang ditetapkan dan cabaran ini berlangsung pada bulan kelahiran saya iaitu Mei.
“Pencapaian ini menjadi hadiah hari jadi yang paling bermakna buat saya, di mana saya berjaya menamatkan larian sejauh 444km untuk ulang tahun kelahiran saya yang ke-44 pada tahun ini.
“Bagi saya, hadiah untuk diri sendiri adalah dengan mencapai sesuatu yang diri saya rasa sukar untuk capai tetapi saya dapat melakukannya,” kata Kak Tutu yang bekerja dalam sektor perbankan.
Berkongsi tentang kisahnya menamatkan larian sejauh 444km tersebut, Kak Tutu berkata, ketika berlari dia tidak yakin dengan diri sendiri bahawa boleh menghabiskan larian sejauh itu.
Menurutnya, sebelum ini jarak larian yang paling jauh yang pernah ditamatkannya adalah sejauh 200km.
“Pada ketika itu, saya meletakkan sasaran untuk menghabiskan larian sejauh 200km terlebih dahulu dan bakinya fikir kemudian sama ada untuk menarik diri atau tidak.
“Untuk menempuh larian sejauh 444km pula bukan sesuatu yang mudah dan saya perlu melalui beberapa laluan yang mempunyai cabaran yang tersendiri untuk sampai ke setiap ‘checkpoint’ yang telah ditetapkan,” jelasnya yang merupakan ibu kepada tiga cahaya mata.
Untuk menamatkan larian tersebut dia perlu menempuh kesemua sembilan checkpoint.

BAGI laluan dari Lumut sehingga Sri Iskandar, Perak dia menempuh cabaran cuaca yang begitu panas.
Tambah mencabar, dia juga perlu berlari dalam laluan pendakian untuk ke Cameron Highlands di Pahang.
“Untuk menempuh larian mendaki ke Cameron Highlands, mental saya telah ‘koyak’ dan mulut mula meratib untuk menarik diri.
“Selain itu, saya juga mengalami terseliuh kaki kiri pada kilometer ke-300 kerana jalan tidak rata,” kata Kak Tutu.
Bagi menamatkan larian tersebut dia perlu berlari siang dan malam. Dia hanya tidur satu hingga dua jam setiap malam sepanjang cabaran itu.
Meskipun berhadapan dengan pelbagai cabaran, Kak Tutu berjaya menamatkan larian tersebut dan sekali gus mencipta sejarah untuk dirinya sendiri.
Kak Tutu sememangnya aktif dengan larian ultra yang merupakan larian yang lebih jauh dan mencabar daripada maraton biasa dan menguji ketahanan fizikal dan mental pelari.
Malah sebelum ini dia juga telah menyertai banyak larian ultra dan menjadi juara untuk 100km Perlis Endurance Run 2023, Juara 100km Langkawi Ultra 2023, Juara 100km Pahang Ultra 2023, Juara Keseluruhan 200km The Golden Panoramic 2024 dan Juara 162km UiTM Ultra 2025.
Mengulas pengibatannya dalam aktiviti larian, Kak Tutu berkata, dia mula terlibat dengan larian setelah berhadapan dengan isu kesihatan.
Menurutnya, sebelum ini dia seorang wanita dengan masalah obes dan pernah mencapai berat hampir 80 kilogram (kg).
“Pada 2013, saya berdepan masalah cyst dan perlu melalui pembedahan untuk membuang ovari sebelah kiri.
“Kemudian pada 2015, saya berdepan masalah endometriosis serta adenomiosis dan perlu membuang semua organ pembiakan,” jelasnya.

Kak Tutu tidak melakukan pembedahan dan dia meminta masa enam bulan untuk mencari alternatif lain untuk menangani masalah tersebut.
Dalam waktu itu, dia tersentak dengan ayat 11 surah Ar-Ra’d yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri sendiri.”
Melalui ayat itu, dia menyelami kembali cara kehidupannya yang tidak mengutamakan kesihatan.
“Saya sedar diri pada ketika itu dan membaca bahan bacaan tentang bagaimana untuk ‘reverse’ sakit ini.
“Di YouTube, saya terjumpa satu perkongsian tentang bagaimana pesakit kanser menangani masalah yang dihadapinya dengan mengubah gaya hidup,” jelasnya.
Kak Tutu kemudian mula mengubah gaya hidupnya dengan jaga pemakanan dan dia dapat mengurangkan berat badan hingga 30kg.
Selepas setahun, dia kembali untuk bertemu doktor untuk melakukan pemeriksaan.
Doktor mengesahkan tidak ada pembesaran dan pertumbuhan baharu dan tidak perlu melakukan sebarang pembedahan lagi.
Setelah berjaya mengamalkan gaya hidup sihat, Kak Tutu juga ada melihat satu video seorang wanita berusia sekitar 60-an yang berjaya menamatkan larian maraton.
“Video ini memberi inspirasi kepada saya, jika wanita itu boleh berlari selesaikan larian maraton saya juga boleh melakukan.
“Saya kemudian mula tekad untuk terlibat dengan aktiviti larian pada 2019,” ujarnya.
Dia kemudian mula berlari di sekitar rumahnya sebelum memilih menyertai acara ‘fun run’ untuk jarak sejauh 5km.
Sejak itu, Kak Tutu mula jatuh cinta dengan acara lain bermula jarak 5km kemudian dia menyertai acara untuk 10km.
Dia kemudian mencabar dirinya untuk lari lebih jauh lagi dan selepas itu dia mula sertai acara separuh maraton untuk jarak sejauh 21km dan seterusnya maraton sejauh 42km dan larian ultra berjarak lebih 100km.
Kini setelah berjaya menyempurnakan larian sejauh 444km, Kak Tutu memasang impian untuk lari dengan lebih jauh.
“Jika boleh saya ingin mencabar diri saya untuk lari lebih jauh lagi, jika ada peluang saya ingin berlari untuk jarak 1,000km.
“Saya terispirasi dengan salah seorang pelari wanta iaitu Natalie Dau yang berjaya menyempurnakan larian sejauh 1,000km.
“Jika dia boleh habiskan larian untuk jarak sejauh itu mengapa saya tidak boleh?” katanya yang turut menghasilkan buku Bangkit Berlari untuk berkongsi kisahnya daripada seorang wanita obes yang berjuang melawan penyakit dan kemudian terlibat dengan aktiviti larian.
Kak Tutu juga menyimpan impian untuk berlari dari Johor ke Perlis. Namun untuk menjayakan larian tersebut bukanlah mudah dan memerlukan sejumlah kos.
Berkongsi pula tentang penampilan tersendirinya yang sering mengenakan skirt tutu, Kak Tutu berkata, pada awal melakukan larian, dia hanya memakai legging atau seluar panjang ketat.
“Apabila melihat gambar saya mengenakan seluar ketat itu, saya rasa tidak selesa dengannya.
“Kemudian ketika saya menyertai satu acara larian di Cyberjaya peserta digalakkan memakai kostum.
“Sebelum acara larian tersebut saya ada menemani anak ke kedai dan kemudian mata tertumpu pada set tutu dan sayap dan tanpa berfikir panjang saya terus membeli set itu,” katanya.
Jelasnya, pada hari larian dia mengenakan skirt tutu serta sayap tersebut dan berasa lebih bersemangat serta yakin sepanjang larian.
Selepas itu, dia turut memakai skirt tutu untuk beberapa acara lain sehingga orang ramai mula mengenalinya sebagai Kak Tutu















