fbpx
Rosmawati (tengah) menyerahkan faedah hilang upaya kekal itu kepada Kubenthiran hari ini.

Pengawal keselamatan putus dua tangan sedia kembali bekerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG – Seorang bekas pengawal keselamatan yang putus dua pergelangan tangan akibat ditetak ketika bertugas di sebuah sekolah rendah di sini, bersedia untuk kembali bekerja dan meneruskan kehidupan seperti insan normal lain.

Tragedi menimpa S. Kubenthiran, 24, pada 3 Jun 2020 itu menyebabkan dia kini memakai tangan palsu dan tidak boleh berdiri lama kerana turut cedera di kaki.

Anak sulung daripada enam beradik itu berkata, kesihatannya beransur pulih selepas menerima rawatan berkala di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang dengan dibantu kedua ibu bapanya.

“Biarpun tragedi itu masih segar di ingatan, ia tidak melunturkan semangat saya untuk kembali bekerja dengan kudrat yang ada.

“Semangat ini masih utuh dan berharap ada pihak sudi menawarkan pekerjaan yang bersesuaian dengan keadaan saya,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kapar di sini, hari ini.

Terdahulu, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menyerahkan Faedah Hilang Upaya Kekal (FHUK) berjumlah RM117,344 kepada Kubenthiran yang juga Orang Berinsurans (OB).

Penyerahan itu disempurnakan Ketua Cawangan Return To Work (RTW) Perkeso,Rosmawati Mat dan Pengurus Pejabat Perkeso Klang, V. Mohanadas.

Media sebelum ini melaporkan Kubenthiran yang bertugas di pondok keselamatan sebuah sekolah di daerah ini ditetak di hampir keseluruhan badan termasuk tanggan menggunakan parang oleh dua suspek bertopi keledar.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi pada 3 Jun 2020 itu, mangsa dipercayai diserang ekoran salah faham berkaitan lot tanah diusahakan untuk menternak lembu yang membabitkan anggota keluarga mangsa.

Sementara itu, Mohanadas berkata, OB berkenaan turut menerima bayaran berkala sebanyak RM1,500 sebulan yang akan dibayar bagi sepanjang hayat.

“Selain itu, kita menerusi program RTW akan cuba membantu Kubenthiran mendapatkan pekerjaan yang bersesuaian selain memantau perkembangannya.

“Ia meliputi kemudahan pemulihan jasmani dan vokasional seperti pemberian bekalan prostetik serta fisioterapi yang intensif kepadanya,” katanya. – KOSMO!ONLINE

POPULAR