fbpx

Mahkamah: Didakwa iklan pakej haji Furada tanpa lesen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Agus Rizal dibawa anggota polis di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mengiklankan tawaran pakej haji furada tanpa lesen. /FOTO AFIQ RAZALI

KUALA LUMPUR – Seorang pengarah syarikat agensi pelancongan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan mengiklankan perkhidmatan pakej haji furada tanpa lesen pengelola jemaah haji yang sah daripada Lembaga Tabung Haji pada Mei lalu.

Bagaimanapun, Agus Rizal Mat Ali, 50, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa sebagai seorang pengarah syarikat UC Travel Sdn Bhd telah mengiklankan perkhidmatan pakej haji furada bagi musim 2022M/1443H dengan memuat naik di media sosial Facebook milik syarikat itu dengan cara mengiklankan bahawa dia boleh menjalankan atau membuat transaksi perniagaan sebagai pengelola perjalanan haji ke tanah suci.

Perbuatan itu bagi tujuan menunaikan haji sedangkan syarikat tersebut tidak mempunyai lesen pengelola jemaah haji secara sah daripada Lembaga Tabung Haji.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabatnya di Platinum Walk, Jalan Langkawi 2, Danau Kota di sini pada 9 Mei lalu, mengikut Seksyen 27 (1) (b) Akta Tabung Haji 1995 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 27 (2) akta sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Aqilah Ishak, manakala peguam Datuk Dhanaraj Vasudevan  dan Ho Cheng En mewakili tertuduh.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 8 September ini untuk sebutan semula kes.

Pada 2 Ogos lalu, media melaporkan, sebanyak 132 laporan polis berhubung kes penipuan pakej menunaikan ibadah haji dan umrah menggunakan visa furada direkodkan setakat 31 Julai lepas membabitkan kerugian lebih RM5.6 juta.

Setiausaha Polis Malaysia Datuk Noorsiah Mohd. Saaduddin berkata laporan yang diterima setakat tarikh itu melibatkan 336 orang yang menjadi mangsa penipuan tiga syarikat pelancongan swasta. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI