fbpx
VIDEO lamaran main-main, anak Zarina Zainuddin, Azal dan Neera Aziz turut dikritik netizen.

Anak Zarina Zainuddin lamar artis, netizen kritik jangan bagi harapan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Perkongsian beberapa buah video oleh pelakon Zarina Zainuddin memaparkan aksi selamba dan berani salah seorang anak kembarnya, Azal membuat lamaran di set penggambaran sebuah drama mengundang pelbagai reaksi netizen.

Di sebalik komen yang memuji keberanian dan bakat lakonan semula jadi Azal, ada sesetengah netizen mendakwa perbuatan tersebut akan mengguris hatinya.

Masing-masing bimbang memandangkan Azal yang merupakan penghidap autisme adakalanya tidak dapat berfikir rasional seperti individu normal lain dan menganggap lamaran tersebut sebagai sesuatu yang serius.

Dalam video dimuat Zarina, Azal membuat lamaran terhadap pelakon Neera Azizi sambil menyarungkan sebentuk cincin di jari manis wanita itu.

“Sudikah awak menjadi isteri saya,” kata Azal sambil disambut sorakan dan tawa beberapa orang lain yang berada di situ.

Zarina, 52, membawa Azal ke set penggambaran drama terbaharu lakonannya, Bukan Lelaki Terhebat lakonan Neera, Sweet Qismina, Adam Lee dan Halim Radzi.

Selepas video berkenaan mendapat perhatian dan kritikan netizen, Zarina tidak menunggu lama memberi respons dengan berkata, anaknya tahu siapa dirinya dan apa yang dilakukan dalam video tersebut sekadar lakonan semata-mata.

Akui Zarina, anaknya itu memang suka dengan wanita cantik tetapi Azal sedar dirinya siapa.

“Azal cakap dia berlakon saja. Dia pun tahu diri dia lah. Jangan buat andaian, saya lebih kenal anak saya. Dia tahu ini sekadar lakonan, percubaan sebelum penggambaran.

“Kalau ada jodoh, saya terima. Kalau tiada pun tak apa, saya jaga anak teruna saya hingga hujung nyawa,” jelasnya.

Tambah pelakon drama Kekasih Hati Mr. Bodyguard itu lagi, dia selalu mengingatkan Azal dan kembarnya, Azil bahawa jodoh mereka nanti merupakan bidadari dari syurga.

“Macam-macam andaian kalian buat. Kalian ini memang senang terhibur ke atau senang mengecam. Suka hati kalianlah, saya lebih tahu anak saya.

“Dia hari-hari berkepit dengan saya. Memang dia ada hati dengan perempuan cantik tapi dia tahu dirinya siapa. Sebab saya selalu ingatkan dia, jodoh Azal dengan bidadari dari syurga, bukan di alam nyata,” katanya.

Zarina memiliki sepasang anak kembar autisme, Muhammad Raizal Azrai dan Muhammad Razil Azrai, masing-masing berusia 26 tahun, selain dua lagi anak lelaki bernama Muhammad Adam Azrai dan Muhammad Naim Azrai. – KOSMO! ONLINE

POPULAR