LUMUT – Jika dahulu, sebahagian nelayan di perairan Pantai Remis di sini mampu meraih pendapatan sehingga RM3,000 sebulan, namun kini hanya RM400 ekoran kekurangan hasil tangkapan angkara penggunaan bubu naga oleh nelayan lain.
Walaupun pelbagai operasi dilakukan pihak berkuasa, tetapi penggunaan bubu naga yang dilarang mengikut Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 itu masih tetap digunakan.
Penggunaan bubu naga yang mempunyai banyak pintu masuk perangkap diharamkan kerana ia boleh mengakibatkan hidupan laut yang kecil turut masuk ke dalamnya, sekali gus menyebabkan ekosistem hidupan laut terjejas.
Seorang nelayan, Sallehudin Ab. Majid, 47, berkata, keadaan bertambah buruk tahun ini apabila hasil laut seakan-akan sudah pupus.
“Sebagai contoh, ikan belanak memang senang didapati kira-kira enam tahun lalu, namun ketika itu, bubu naga baru mula digunakan oleh segelintir nelayan di sini.
“Penggunaannya yang berterusan sehingga ke hari ini menyebabkan nelayan seperti kami yang menggunakan pukat tidak lagi dapat menangkap ikan belanak,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Menurutnya, terdapat juga spesies udang yang diancam kepupusan kerana telah ditangkap menggunakan bubu naga itu.
“Sebelum ini, sekali turun ke laut boleh dapat berbelas-belas kilogram (kg) udang, tetapi sekarang nak dapat setengah kilogram pun susah.
“Bayangkanlah, lapan kali tebar pukat ke dalam laut, namun hanya kira-kira 80 ekor udang yang berjaya ditangkap,” ujarnya.
Sallehudin berkata, antara hasil laut lain yang sukar didapati termasuklah ikan gelama, ikan puting damar, ikan sembilang, sotong katak, sotong kurita dan ketam bunga.
Seorang lagi nelayan yang dikenali sebagai Musa, 42, berkata, pendapatannya ketika ini hanya mampu mencecah antara RM400 hingga RM700 sebulan ekoran kekurangan hasil tangkapan.
“Saya boleh katakan sebelum ini, pendapatan kami sekitar RM2,000 hingga RM3,000 sebulan.
“Bagaimanapun, semua itu tinggal kenangan sahaja. Bagi kami yang ada bot, terpaksalah menjana pendapatan sampingan dengan membawa pemancing ke laut dengan upah antara RM200 hingga RM250 setiap sesi di antara empat hingga lima jam,” ujarnya.
Menurutnya, bagi nelayan yang mempunyai tanah pula, mereka boleh bercucuk tanam dan turut bergantung kepada hasil tanaman tersebut untuk sumber pendapatan.
“Kami tak rasa masalah ini akan selesai, buatlah operasi banyak mana sekali pun, hakikatnya bubu naga tetap akan digunakan,” ujarnya.
Nelayan, Abdul Kadir, 56, pula berkata, dia kini hanya turun ke laut sekali atau dua kali sebulan berbanding rakan-rakannya kira-kira 15 kali sebulan.
Dia bernasib baik apabila anak-anaknya sudah bekerja dan mereka telah membantunya dari segi kewangan.
“Saya akan tetap menangkap ikan mengikut peraturan, biarlah orang lain guna bubu naga, saya tak mahu,” ujarnya.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan, lambakan bubu naga yang mudah didapati secara dalam talian dan dijual dengan harga murah menjadi punca wujudnya semakin ramai ‘nelayan segera’ menggunakan bubu naga.
Selain itu, terdapat juga ‘tauke-tauke’ yang membeli hasil laut daripada ‘nelayan segera’ itu menyebabkan penggunaan bubu naga yang diharamkan di negara ini semakin meningkat.
‘Nelayan segera’ ini dikesan hanya melabuhkan bubu naga dan membiarkan di laut sebelum mengaut hasil pada waktu-waktu tertentu menyebabkan mereka sukar dikesan. -KOSMO! ONLINE














